KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi masa kepada Kerajaan Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC) berbincang untuk menyelesaikan kes saman secara baik sebelum perbicaraan bersambung pada 17 Mei ini.
Pada tarikh itu, mahkamah akan mengetahui sama ada kes saman itu diselesaikan atau diteruskan untuk perbicaraan.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan, yang mewakili kerajaan ketika ditemui pemberita di sini hari ini berkata sepatutnya ditetapkan untuk sambung perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai, dengan suami Shahrizat, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai saksi defendan kedua yang akan memberi keterangan.
“Bagaimanapun, perbicaraan hari ini ditangguhkan berikutan NFC mencadangkan untuk menyelesaikan kes saman itu.
“Sekiranya penyelesaian gagal dicapai, mahkamah kemudian menetapkan 17 hingga 20 Mei ini,” katanya dan memaklumkan pihak defendan mengemukakan lima saksi dalam kes saman itu.
Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Jan 2020 dan pihak plaintif selesai memanggil seramai tujuh saksi.
Syarikat NFC diuruskan suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.-K! ONLINE