fbpx

MyTutor lengkapi sistem pembelajaran anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hafiz (tengah) bersama kakitangan MyT di pejabatnya di Seremban 2 baru-baru ini.

SEREMBAN – Jika dahulu ibu bapa akan mencari guru tuisyen semata-mata untuk membantu anak-anak belajar sebagai persediaan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka sanggup berbelanja beratus ringgit untuk mencari kelas tuisyen dan tutor yang terbaik datang ke rumah untuk membolehkan anak-anak mereka berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Namun, impak pandemik yang telah mencetuskan sesi pem­belajaran hanya dilaksanakan di rumah secara online bermula tahun 2020 dan juga keputusan kerajaan memansuhkan UPSR telah memberi kesan besar kepada perniagaan berkaitan pendi­dikan berkonsepkan tuisyen dan tutor, sekali gus trendnya berubah 360 darjah serta kecende­rungan ibu bapa terus menurun.

Tetapi lain pula bagi pasangan suami isteri yang juga pengasas syarikat MyT Edutech Berhad (MyT) yang telah meneroka bidang tutor sejak tahun 2013 mendapati bahawa permintaan terhadap home tutor terus diterima dan mencatat permintaan yang bertambah saban tahun.

Mohd Hafiz (tengah) bergabung ide bersama isteri, Siti Zulaikha dan rakan strategiknya, Mohd Farhan Firdaus membangunkan empayar MyT untuk mendidik anak bangsa.

Mohd. Hafiz Kamaruddin dan Siti Zulaikha Jeffry, masing-masing berumur 33 tahun yang juga gra­duan Sains Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu tidak cukup tangan meme­nuhi permintaan untuk kelas bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan juga English yang semakin bertambah.

Mereka terpaksa membangunkan satu kumpulan tutor yang hanya bermula daripada 10 orang lantas bertambah kepada 1,600 tutor kini dengan jumlah bilangan pelajar seramai 16,000 orang.

Pasangan muda ini memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya sekali gus sebagai pendapatan utama kerana sangat diminati mereka sejak masih belajar lagi.

Bermula dengan menawarkan khidmat tutor di rumah yang dipromosinya di sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara, Selangor  itu telah berjaya membolehkan pasangan yang memiliki tiga anak itu aktif mengajar pada sesi petang dari pukul 2 hingga 10 malam sehingga pendapatan bulanan boleh mencecah sehingga RM6,000 sebulan.

“Ketika itu, kelas tuisyen yang kami tawarkan adalah serendah RM25 sejam. Keyakinan ibu bapa kepada kami telah menyebabkan jumlah pelanggan bertambah sehingga memaksa kami menggajikan kira-kira 10 lagi tutor baharu dalam kalangan rakan universiti yang berminat serta ada pengalaman mengajar,” katanya pada sesi temu bual di pejabatnya di Seremban 2 dekat sini baru-baru ini.

Mohd. Hafiz menerangkan, pertambahan bilangan tutor di bawah sayap perniagaan dengan jenama MyTutor itu berkait rapat dengan permintaan ibu bapa yang sangat peka dan memerlukan guru untuk mengajar anak-anak yang masih bersekolah rendah untuk membantu mereka membaca.

Jelasnya, permintaan untuk kelas membaca adalah yang tertinggi dan ia melibatkan pelajar yang berumur empat, lima dan enam tahun.

“Ketika pandemik, kelas pembelajaran yang dikendalikan oleh tutor kami dibuat secara digital yang mana tenaga pengajar menggunakan papan putih digital, soalan dan video juga secara digital.

“Ia telah menimbulkan minat pelajar untuk tekun belajar,” jelasnya.

Kini, 80 peratus daripada sesi kelasnya diadakan secara bersemuka.

Mohd. Hafiz menjelaskan, pertambahan bilangan tutor semasa pandemik telah meningkat sehingga hampir 500 orang telah membantu ramai graduan dan mereka yang kehilangan kerja untuk mencari pendapatan baharu dalam bidang pendidikan.

Menurut Hafiz, tawaran mencari tutor baharu dilaksanakan melalui latihan dan seminar sehari yang perlu dihadiri buat mereka yang berminat untuk melihat komitmen dan kesungguhan mereka mampu menjadi tenaga pengajar yang berkualiti.

Kira-kira 10 peratus daripada tutor MyTutor Academy Sdn. Bhd, terdiri daripada guru sekolah yang menjadi tenaga pengajar secara sambilan.

Yuran pembelajaran yang dikenakan kepada ibu bapa adalah RM40 sejam bagi kelas secara perseorangan, manakala RM65 sebulan bagi kelas berkumpulan.

Beliau menerangkan, memandangkan komuniti MyTutor terus bertambah, syarikat telah membangunkan sistem operasi lebih canggih dan cekap dalam laman web yang dikendalikan anak syarikatnya iaitu MyTutor Tech Sdn. Bhd.

Selain itu, ia turut disokong oleh sistem pentadbiran dan pemantauan terhadap prestasi pelajar serta aktiviti pemasaran mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan secara maya oleh empat pengurus di ibu pejabat, manakala 34 pengurus elite di seluruh negara.

“MyTutor kini menjadi sebuah empayar yang berdaya saing dengan pelbagai inisiatif untuk membangunkan perkhidmatan baharu seperti MyTCourse.com yang akan menjadi platform secara online untuk memupuk lagi minat dan kemahiran pelajar masing-masing.

“Selain itu, kami juga bercadang untuk membangunkan sebuah sekolah rendah yang dikenali sebagai Andromeda iaitu sekolah berkonsep hibrid menjelang tahun 2023,” jelasnya sambil menambah MyT kini dalam perancangan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang tahun 2026.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz menjelaskan, segmen tuisyen yang dilihat masih belum mendapat pengiktirafan utama daripada kerajaan memberi satu cabaran kepada syarikatnya untuk terus membangunkan empayar perniagaannya.

“Bagaimanapun, kami gembira tatkala menerima komen daripad guru-guru di sekolah yang berterima kasih dan menghargai usaha tutor kami yang berjaya membantu melengkapkan lagi pembelajaran anak muridnya di dalam bilik darjah.

“Sekali gus ia dapat membantu mengurangkan beban kerja guru yang makin bertambah pada masa sekarang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI