fbpx

Himpunan #TangkapAzamBaki : Polis buka 2 kertas siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perhimpunan #TangkapAzamBaki di Jalan Bangsar baru-baru ini. FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung dua perhimpunan di Restoran Amjal dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kes disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

“Penyiasatan polis di bawah akta atau peraturan tersebut dibuat berdasarkan pemantauan di lokasi perhimpunan yang mendapati sekumpulan orang berkumpul dan berarak dengan kapasiti yang berlebihan dan bertentangan dengan penetapan SOP Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, berdasarkan tapisan senarai nama, jumlah butiran diri aktivis dan peserta yang dikenal pasti menyertai perhimpunan di LRT Bangsar adalah seramai 78 orang yang terdiri daripada 26 aktivis.

“Sementara di Restoran Amjal, seramai 16 orang aktivis dan 12 pengunjung awam dikenal pasti hadir namun tiada tangkapan dan rampasan dijalankan di kedua-dua perhimpunan tersebut.

“Sehingga hari ini pukul 8 malam, polis telah merakamkan sebanyak sembilan keterangan aktivis yang hadir semasa perhimpunan di LRT Bangsar dan 10 keterangan aktivis yang hadir semasa perhimpunan di Restoran Amjal,” jelasnya.

Tambahnya, keterangan saksi-saksi juga telah dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Gambar tempat kejadian, gambar aktivis yang memberikan ucapan dan video semasa perhimpunan juga telah dirakam. Arahan penyiasatan di bawah Kanun Prosedur Jenayah telah diperolehi daripada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur.

“Pihak Polis ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan kepada pihak Polis untuk mengadakan perhimpunan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI