fbpx
Iman lega dibenarkan pulang ke rumah selepas lapan hari menjalani kuarantin akibat Covid-19.

Sarat hamil, positif Covid-19, Iman Suhana lega keluar hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Nikmatnya dapat berehat di rumah dan tidur di katil sendiri. Lega, syukur alhamdulillah”.

Demikian luahan pelakon Iman Suhana menerusi Instagram selepas lapan hari ditahan dalam wad ekoran dijangkiti Covid-19 sejak minggu lalu.

Iman yang kini sarat hamil lapan bulan bagaimanapun bersyukur apabila doktor memberitahu anak dalam kandungannya berada dalam keadaan stabil dan baik-baik sahaja.

“Saya baru saja dibenarkan pulang semalam selepas lapan hari menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh bagi memantau keadaan saya yang berisiko tinggi kerana berbadan dua.

“Sebelum dimasukkan ke hospital saya terlebih dahulu menjalani kuarantin di rumah selama dua hari tapi doktor menyarankan saya ditahan di wad supaya dapat memantau bacaan jantung bayi dalam kandungan dan oksigen saya.

“Ketika dapat tahu saya positif virus ini, saya memang mendiamkan diri dan tidak beritahu sesiapa sebab saya tak kuat nak hadapi situasi ini. Tambah lagi, saya risaukan keadaan anak dalam kandungan.

“Malah menjalani kuarantin di hospital saya akui sangat mencabar sebab tidak boleh ke mana-mana. Saya juga terpaksa berjauhan dengan anak perempuan sulung buat kali pertama,”katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu memberitahu, dia dijangkiti wabak tersebut daripada suaminya yang terlebih dahulu disahkan positif Covid-19.

“Apabila jadi kontak rapat suami yang disahkan positif Covid-19, saya terus rasa tak sedap hati. Jadi saya pun buat ujian saringan di rumah dan hasilnya saya juga positif.

“Kemudian saya ke klinik dan keputusan masih sama. Tapi mujurlah tiada gejala yang teruk berlaku. Demam pun sekejap-sekejap saja diselangi batuk, selesema dan sakit tekak,” katanya.

Terdahulu, Iman mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Muhammad Syazwan Ibrahim, 32, pada 2018.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maya Inara yang kini berusia tiga tahun.

POPULAR