PETALING JAYA – Golongan lelaki yang hidup hanya hendak senang dikesan menyasarkan wanita bekerja sebagai penjawat awam untuk dijadikan pasangan hidup bagi memudahkan mereka mendapatkan wang dengan cara membuat pinjaman bank menggunakan nama isteri.
Wanita itu dijadikan sasaran kerana mempunyai gaji tetap selain mempunyai elaun tambahan dan dikenakan faedah rendah sekiranya membuat pinjaman dengan kerajaan atau bank.
Kebanyakan kes melibatkan si suami merayu agar isteri membuat pinjaman sebagai modal permulaan untuk membeli sesuatu atau memulakan perniagaan sedangkan dia tidak mempunyai ilmu mengenainya.
Sudahnya, perniagaan yang diusahakan lingkup dan si isteri yang menjadi mangsa untuk melangsaikan hutang dengan bank bertahun-tahun lamanya.
Seorang janda yang dikenali sebagai Puteri, 34, memberitahu, dia merupakan salah seorang yang menjadi mangsa dijadikan kambing hitam oleh bekas suaminya yang kini ‘mencuci tangan’ di atas segala hutang yang dibuat.
Cerita Puteri, dia telah bercerai sejak lima tahun lalu selepas berkahwin selama 36 bulan.
“Saya menjaga suami seperti menatang minyak yang penuh dan sanggup menjadikan kerjaya sebagai guru untuk membuat pinjaman bank sehingga mencapai jumlah hampir RM500,000 sebelum ditinggalkan begitu sahaja.
“Bekas suami bekerja sebagai pembantu kedai makan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Tambahnya, dia membuat pinjaman untuk modal perniagaan tanpa memikirkan kesan buruk tambahan pula tidak mungkin suami akan meninggalkannya.
“Bekas suami berjanji macam-macam dan saya tak tergamak untuk menolak permintaannya,” katanya.
Ujar Puteri, tidak lama kemudian, perniagaan kedai makan yang diusahakan lingkup kerana tidak diuruskan dengan baik.
“Bekas suami kemudian terus desak buat pinjaman lain untuk tujuan sama dan berjanji akan bekerja lebih keras untuk memajukan perniagaan,” katanya.
Tambahnya, perniagaan kedua hanya bertahan tujuh bulan sebelum terpaksa gulung tikar.
Menurut Puteri, bekas suaminya kemudian menghilangkan diri selama sebulan sebelum muncul dan melafazkan cerai.
“Saya tak sangka jadi seperti ini untuk tanggung semua hutang tersebut, manakala bekas suami lepas tangan,” jelasnya lagi.
Berkongsi nasib yang sama, seorang guru yang dikenali sebagai Nur, 45, memberitahu, dia menanggung hutang hampir RM400,0000 yang dibuat oleh suaminya.
“Saya perlu ada RM1,800 sebulan untuk membayar hutang selain terbeban dengan komitmen bagi menyara keluarga dan anak-anak.
“Bekas suami langsung tidak ambil pusing soal nafkah. Dia yang pinjam, saya yang kena tanggung,” katanya.
Tambahnya, dia sering ditipu bekas suami apabila diberi cek tendang setiap kali menuntut bayaran.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Harith Faisal menceritakan, rakannya memujuk isteri yang merupakan kakitangan kerajaan membuat pinjaman untuk berniaga.
“Bagaimanapun, isteri dia meninggal dunia sebelum sempat habiskan hutang. Perniagaan pun tak jadi, modal hangus,” katanya. -K! ONLINE















