BATU KURAU – Kehilangan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau kini menjadi misteri apabila dia masih belum ditemui walaupun pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan ahli keluarga dan pihak berkuasa sejak 30 Disember lalu.
Muhammad Ridzuan Zakaria, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Firdaus, hilang selepas keluar bermain sekitar pukul 4 petang berdekatan rumahnya tanpa sebarang petunjuk.
Dia merupakan OKU masalah pembelajaran.
Mengimbau semula kejadian itu, ibunya, Rokiah Abdul Mutalib, 59, berkata, dua hari sebelum hilang, anak kelima daripada lapan beradik itu demam dan tidak lena tidur malam.
“Dia mendengus dan berdengkur dengan kuat pada pukul 3 pagi hingga membuatkan saya terjaga. Saya lihat kakinya menggeletar, manakala mata hitamnya naik ke atas. Nafasnya kencang seperti orang kena sembelih.
“Saya baca ayat al-Quran dan sapu seluruh badannya dengan minyak angin sebelum dia kembali tenang. Apabila siang, dia kelihatan sihat dan buat aktiviti biasanya seperti berjalan-jalan sekitar rumah dan bermain dengan sepupunya,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, biasanya Firdaus akan pulang makan tengah hari dan mandi sebelum keluar semula pada pukul 4 atau 5 petang.
Bagaimanapun menurut Rokiah, anaknya itu tidak pulang-pulang hingga waktu Maghrib membuatkan dia memaklumkan kepada penduduk kampung dan menghubungi pihak berkuasa.
“Pihak bomba yang dibantu kira-kira 300 penduduk kampung keluar mencari Firdaus pada pukul 11.30 malam, namun masih gagal. Pelbagai usaha telah digunakan termasuk perubatan Islam, namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk,” katanya.
Ujar Rokiah, dia berharap anaknya itu akan ditemui walau apa pun keadaannya.

Dalam pada itu, kakak mangsa, Hasnah, 40, memberitahu, dia pernah bermimpi melihat Firdaus di kawasan rimbunan pokok buluh di tebing Sungai Kurau kira-kira 200 meter dari belakang rumah pada hari keempat kehilangan adiknya itu.
Katanya, dia duduk di atas batu di tengah sebatang parit dengan wajahnya yang pucat. Dia kemudian hilang apabila masuk ke dalam rimbunan buluh sebelum Hasnah tersedar.
“Rupanya, ibu saya pun bermimpi benda yang sama. Dalam mimpi ibu, dia melihat pokok itu dikelilingi ramai orang dan jamung api dipasang di empat penjuru.
“Penduduk kampung kemudian membaca surah Yasin di situ dan saya terdengar seolah-olah suara adik saya batuk di rimbunan tersebut, namun tidak menemui apa-apa,” katanya.
Tambahnya, mereka masih tidak berputus harapan dan masih berusaha dan berikhtiar untuk mencari adiknya itu walaupun kehilangan Firdaus sudah masuk lebih tiga minggu.
Bapa saudara Firdaus, Muhammad Nor Muhammad Daud, 58, berkata, anak saudaranya itu gemar kepada bunyi jentera sama ada mesin rumput, jengkaut, jentolak dan sebagainya.
“Setiap kali melihat jentera bergerak, dia akan bertepuk tangan gembira. Pada hari kejadian, kali terakhir dia dilihat di Sungai Kurau di belakang rumahnya kerana melihat jentolak mengorek tanah.
“Pemandu jentolak mengarahkannya pulang kerana sudah petang dan itu kali terakhir dia dilihat,” katanya.














