Majlis pelancaran Honda Civic generasi ke-11 oleh Honda Malaysia baru-baru ini merupakan satu testimoni bahawa jentera itu tetap antara yang menjadi pilihan pengguna di negara ini.
Model yang dinanti-nantikan itu dijangka merancakkan lagi pasaran automotif negara yang dilihat semakin pulih ketika ini.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, jentera itu diberikan perhatian khusus oleh jurutera Honda tidak kira di bahagian luaran mahupun dalamannya.
Katanya, model itu adalah terjemahan unsur-unsur klasik di samping menitikberatkan nilai-nilai Honda yang berterusan, manakala konsep reka bentuk baharunya pula memberikan Identiti Alaf Baharu untuk sebuah sedan.
“Dilengkapi dengan ciri-ciri dan teknologi terkini, ia masih mengekalkan DNA model Civic dari segi reka bentuk, pengendalian dan prestasi kuasa.
“Model serba baharu ini direka dengan sepenuh jiwa, diinspirasikan daripada sebuah legasi dan dibina untuk masa hadapan,” katanya baru-baru ini.
Honda Malaysia juga buat pertama kalinya memperkenalkan varian RS untuk barisan model Civic dengan meningkatkan ciri-ciri sporty dan gaya berani untuk Civic serba baharu itu.
Antara ciri luaran eksklusif RS adalah seperti kemasan hitam berkilat di pintu dengan cermin sisi berwarna hitam selain antena sirip yu, pemegang luar pintu dan spoiler.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan ekzos berkembar dengan kemasan krom dan roda aloi hitam Matte 18 inci yang memberikan ciri sporty pada penampilannya.
Civic serba baharu itu juga menerima lampu utama diod pemancar cahaya (LED) dengan reka bentuk baharu bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED, manakala gabungan lampu belakang LED pula dengan reka bentuk yang mencerminkan DNA Civic selain menekankan identiti Honda.’

Jentera itu turut menggunakan teknologi Laser Brazing buat pertama kali bagi menampakkan garisan bumbung yang lebih kemas.
Dalam pada itu, Chujo berkata, Honda adalah pengeluar kenderaan umum Jepun yang pertama melancarkan enjin VTEC Turbocharged untuk Civic generasi ke-10 pada tahun 2016.
Katanya, penerimaan pasaran untuk enjin Turbocharged Honda itu mendapat sambutan di luar jangkaan dan sejak itu, sebanyak 60 peratus model Civic yang telah terjual adalah daripada versi Turbocharged.
“Kali ini, kami amat berbangga untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia enjin VTEC Turbocharged yang dikemas kini untuk Civic generasi ke-11 serba baharu.
“Ia akan menaikkan lagi taraf kenderaan dalam segmen C dari segi prestasi dan bakal memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan untuk pelanggan kami,” katanya.
Civic generasi ke-11 ditawarkan dalam tiga varian iaitu E, V dan RS.
Enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged yang dipertingkatkan kini didatangkan standard untuk semua varian Civic tersebut.
Ia menawarkan pemanduan yang menyeronokkan dengan tenaga maksimum 182PS dan tork terbaik di dalam segmennya iaitu 240Nm, menjadikan enjin itu lebih berkuasa dari enjin 2.4L.
Civic serba baharu itu juga mempunyai mod pemanduan baharu: ECON, Normal dan Sport Mode yang mudah dipilih menggunakan suis Drive Mode.
Honda telah mempertingkatkan ruang dalaman Civic serba baharu dengan menawarkan konsep yang lebih menyegarkan menggunakan reka bentuk berkonsepkan suasana terbuka.
Fokus utama adalah untuk memberikan penglihatan visual yang jelas melalui ruang cermin yang lebih luas.
Ciri yang menjadi tarikan utama ialah penggunaan panel Honeycomb Mesh yang berjaya membawa rasa premium pada papan pemukanya.
Jentera itu juga mempunyai reka bentuk tempat duduk baharu yang memberikan sokongan posisi badan lebih baik ketika memandu.
Varian RS mempunyai tempat duduk kombinasi kulit dengan jahitan benang merah berserta stereng kulit dengan jahitan benang merah, lapisan siling hitam, pedal kaki sport dan pencahayaan ruang kaki.
Varian RS dan V dilengkapi dengan paparan audio berukuran 9-inci yang boleh dipadankan dengan Apple CarPlay serta Android Auto dengan dua slot USB di bahagian hadapan.
Antara ciri standard untuk semua varian ialah Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7 inci, dua slot USB untuk tempat duduk belakang dan pengelap cermin pintar.
Kerangka Civic generasi ke-11 serba baharu adalah lebih kukuh daripada Civic sebelumnya, dengan peningkatan sebanyak 8 peratus daripada pengukuhan torsional dan 13 peratus lebih baik dalam pengukuhan liuk.
Jentera tersebut juga dilengkapi dengan set lengkap teknologi keselamatan terkini yang intuitif dan pintar.

Honda Sensing yang dipertingkatkan turut didatangkan dengan ciri baharu Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas yang pertama kali diperkenalkan untuk model kereta Honda Malaysia.
Semasa kenderaan melahu seperti menunggu di lampu isyarat, sistem ini akan memberi amaran kepada pemandu tentang kenderaan di hadapan yang sudah bergerak.
Dua ciri keselamatan baharu pada Civic serba baharu itu pula ialah amaran tali pinggang keledar pada tempat duduk belakang dan pengawas tahap perhatian pemandu.
Ciri seperti Kunci Automatik Apabila Beredar dan Penghidup Enjin Kawalan Jauh merupakan ciri standard untuk semua varian.
Civic serba baharu ini juga adalah model ketiga Honda Malaysia yang menampilkan teknologi inovatif terbaharu Honda CONNECT. Pemilik Civic ini juga buat pertama kalinya dapat menggunakan sistem telematik yang dapat
menghubungkan mereka dengan kereta menerusi aplikasi telefon bimbit.
Fungsi utama teknologi telematik pada Honda CONNECT termasuklah Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamatan, Pemantauan Kenderaan dan Perkhidmatan Sokongan yang direka untuk menawarkan kelegaan minda pemilik dan memudahkan akses pemilik bagi mendapatkan informasi kenderaan.
Harga untuk varian E ialah RM125,634.64, manakala varian pula berharga RM138,043.36. Pelanggan Honda yang mahukan varian RS pula boleh memilikinya dengan harga RM144,350.09.
Dua warna baharu turut diperkenalkan iaitu merah (Ignite Red Metallic) dan kelabu (Meteoroid Gray Metallic), selain warna-warna putih mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam mutiara (Crystal Black Pearl).
Untuk maklumat lanjut atau sesi pandu uji, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 102 pusat jualan sah Honda di serata negara atau melayari laman web www.honda.com.my atau muat turun aplikasi HondaTouch.














