fbpx

PRG optimis sektor hartanah pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan artis projek rumah mampu milik, Embayu@Damansara West yang dimajukan oleh PRG telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat

PETALING JAYA – PRG Hol­dings Berhad (PRG) optimis terhadap pemulihan sektor hartanah dan permintaan global untuk segmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus bakal menjana prestasi pemulihan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

Naib Pengerusi Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, ini dapat dilihat daripada prestasi keputusan kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) dengan mencatat pendapatan serta keuntungan selepas cukai terkumpul sembilan bulan masing-masing berjumlah RM129.9 juta dan RM12 juta.

Menurutnya, sebagai perbandingan, Kumpulan telah mencatat kerugian berturut-turut dalam tempoh tiga tahun kewangan yang lalu.

“Walaupun prospek global kekal agak suram kerana kemun­culan semula pandemik yang berterusan di pelbagai negara, Kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatan dalam perniagaan sedia ada dan baharu.

“Ia adalah untuk menjana nilai yang mampan kepada pelanggan serta pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan.
PRG yang merupakan pengeluar tekstil dan webbing, telah ­menyenaraikan Furniweb Hol­dings Limited, segmen pembuatannya di Papan GEM Bursa Saham Hong Kong dan kini telah menunjukkan pulangan yang memberangsangkan sejak 2020.

Bagaimanapun, Kumpulan terpaksa menampung kerugian rosot nilai yang berlaku sekali sahaja dalam item muhibah (goodwill) dan aset.

Sejak itu, Kumpulan melaksanakan penstrukturan semula dengan melepaskan dua syarikat yang merugikan.

Kumpulan telah mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan bagi pelbagai produk hasil daripada pemulihan kesan pandemik Covid-19.

Pada masa ini, Kumpulan mengeluarkan produknya daripada dua buah kilang yang terletak di Vietnam dan tiga kilang yang terletak di Malaysia, serta mengeksportnya ke lebih 30 negara di seluruh dunia.

“Kami telah melihat pemulihan kukuh dalam pesanan jualan untuk produk pembuatan kami.

“Ini adalah hasil daripada permintaan tertangguh susulan wabak itu, yang mana pelanggan tergesa-gesa untuk menambah stok.

“Kami juga telah meraih manfaat daripada beberapa peralihan dalam pemerolehan dari China,” ujarnya.

Tambah beliau, sejak tahun 2020, Kumpulan telah menaik taraf dan menggantikan jentera bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran.

“Kami juga sedang meneroka produk dan aplikasi baharu produk untuk mengembangkan rangkaian tawaran kami ke pasaran,” ujarnya.

Mengenai sektor hartanah, PRG terlibat dalam pembangunan projek rumah mampu milik pertamanya iaitu Embayu @ Damansara West yang mana kini telah mencapai kadar penggunaan sebanyak 80 peratus untuk Menara A dan B.

Choon Hann menerangkan, Menara C pula telah dilancarkan pada bulan November lalu dengan harga jualan masing-masing antara RM350,000 hingga RM400,000.

Sehingga hari ini, Menara C telah ditempah sepenuhnya.

“Dengan pencapaian yang menggalakkan daripada segmen hartanah, ditambah pula dengan pemulihan segmen pembuatan dan penjimatan tenaga baharu, kami percaya pihak pemegang taruh boleh menantikan tahun yang lebih baik untuk jangka masa depan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI