fbpx
Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan memberikan perkhidmatan kepada OKU yang berdaftar JKM melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan. – GAMBAR HIASAN

4.2 juta OKU terlepas bantuan, keistimewaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Hanya 584,947 daripada 4.8 juta orang kelainan upaya (OKU) di negara ini yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Oktober tahun lalu.

Ini bermakna, kira-kira 4.2 juta OKU dikesan masih gagal berbuat demikian, sekali gus menyebabkan mereka terlepas untuk menikmati pelbagai keistimewaan yang diberikan kerajaan kepada golongan itu.

Antaranya ialah elaun pekerja cacat sebanyak RM350 sebulan, bantuan penjagaan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar (RM300 sebulan) dan OKU tidak bekerja (RM200 sebulan) selain pelbagai diskaun pengangkutan awam.

Bahagian Pembangunan Sosial: Pendaftaran dan Bantuan, Jabatan Pembangunan OKU JKM berkata, berdasarkan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah golongan OKU.

Menurutnya, penduduk Malaysia ketika ini adalah kira-kira 32.7 juta orang.

“Maka, 15 peratus daripada­nya iaitu 4.8 juta orang ialah golongan OKU. Bagaimanapun, mereka yang berdaftar sebagai OKU dengan JKM pula hanya 584,947 orang.

“Kira-kira 4.2 juta OKU lain masih tidak berdaftar dengan JKM,” katanya dalam satu kenya­taan kepada Kosmo! semalam.

Kenyataan itu memberitahu, terdapat beberapa punca OKU terbabit masih belum berdaftar dengan JKM dan antaranya ialah kurang kesedaran dalam kala­ngan individu itu sendiri dan juga ibu bapa mereka.

Katanya, sebahagian ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa risau dengan tanggapan masyarakat sekiranya anak mereka dikategorikan sebagai OKU.

“Kekurangan maklumat me­ngenai kaedah pendaftaran sebagai OKU juga menjadi punca ke­gagalan untuk berbuat demikian.

“Sebab lain adalah berada di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sukar untuk mendapat akses kepada kemudahan dan pejabat untuk menguruskan pendaftaran OKU,” ujarnya.

JKM memberitahu, pihaknya menyasarkan seramai sejuta OKU untuk berdaftar dengan pihaknya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Justeru, katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan OKU terlibat berbuat demikian antaranya dengan mengadakan kempen pendaftaran OKU di peringkat negeri dan daerah.

“JKM akan melibatkan pe­mimpin tempatan sebagai orang tengah dalam mengenal pasti dan membantu golongan OKU untuk mendaftar.

“Kami juga akan memudahkan serta mempercepatkan urusan pendaftaran golongan itu secara dalam talian iaitu menerusi MyDaftar OKU,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN