fbpx

Rumah terbakar, al-Quran tidak dimakan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habibah melihat naskhah al-Quran yang tidak terbakar dalam kebakaran di Taman Kenanga 3, Klebang Besar, Melaka, petang tadi.

MELAKA – Hanya dua buah naskhah al-Quran ditemui terselamat dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah yang hangus sepenuhnya di Taman Kenanga 3, Klebang Besar, di sini tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kesemua lima orang penghuni terdiri daripada dua buah keluarga bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut mangsa, Habibah Md. Sab, 63, dia tidak menyangka hanya al-Quran yang dibelikan oleh arwah anak lelakinya itu tidak ‘terusik’ meskipun diletakkan di atas almari di ruang tamu.

“Ketika kejadian mak cik tinggal seorang diri, manakala anak lelaki berusia 22 tahun yang menetap bersama keluar bekerja.

“Mak cik sakit lutut, jadi tidak ada satu pun barang sempat diselamatkan, namun mak cik terkejut apabila dua naskhah al-Quran dibelikan arwah anak lelaki diletakkan di ruang tamu tidak ‘terusik’,” kata ibu tunggal itu ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menceritakan semula insiden itu, Habibah memberitahu, kejadian itu disedari ketika ingin mengambil wuduk sebelum ternampak kepulan asap dari tingkap dapur rumahnya.

“Mak cik bergegas keluar untuk periksa keadaan dan ternampak anak jiran berusia 11 tahun dalam keadaan cemas berdiri berhampiran tilam yang sedang terbakar di rumahnya.

“Mak cik terus tarik getah paip untuk padamkan api tetapi ia merebak dengan sangat cepat, keluarga jiran serta penduduk kampung lain juga cuba memadam, namun tidak berjaya,” katanya.

Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Lagenda milik anaknya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohammad Fazzil Mohammad Yuso berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.08 petang dan seramai 14 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran membabitkan empat buah rumah sederet separuh kekal dengan tiga buah daripadanya termasuk sebuah rumah tidak berpenghuni terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 23 minit dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI