KAJANG – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyuarakan kebimbangan apabila mendapati segelintir kanak-kanak berusia 12 tahun terutamanya di Pantai Timur terlibat dengan dadah kerana ia boleh merencatkan perkembangan otak sekali gus menjahanamkan masa depan mereka sendiri.
Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan AADK, Hafidah Mohd.@Maasom berkata, setakat ini seramai 18 kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut dikesan terlibat dengan dadah bagi tempoh 2018 hingga Januari 2021.
Katanya, walaupun nilai itu sangat kecil berbanding dengan jumlah golongan remaja atau belia di negara ini, namun ia tidak boleh dipandang ringan.
“Siasatan kita mendapati, antara punca kanak-kanak menagih dadah adalah disebabkan tidak lagi bersekolah, pengaruh ibu bapa atau ahli keluarga yang menghisap bahan khayal dan faktor genetik.
“Ini sangat membimbangkan kami kerana perkembangan otak kanak-kanak itu boleh terjejas selain ia mempunyai kesan jangka masa panjang,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, Pangkalan Data Penyalah Guna, Penagih Dadah dan Bahan Kebangsaan menunjukkan Terengganu, Pahang dan Kelantan merupakan negeri tertinggi mempunyai penagih dadah termasuk golongan kanak-kanak.

Menurut Hafidah, tiga negeri itu wajar diberi perhatian kerana jumlah penagih terlalu ramai dan secara tidak langsung mengakibatkan kanak-kanak terdedah dengan tingkah laku mereka.
“Lebih parah jika yang menagih dadah itu ialah ibu bapa atau ahli keluarga mereka,” katanya.
Ujar Hafidah, faktor genetik boleh menyebabkan tingkah laku penagihan diwarisi dan ia dibuktikan menerusi kajian National Institute on Drug Abuse (2013).
“Kajian itu menunjukkan 40 hingga 60 peratus penagihan dadah adalah faktor genetik. Ia logik kerana melihat orang ambil dadah dalam rumah sejak
kecil dan akan terikut-ikut,” katanya.
Tambahnya, ada juga ibu bapa yang memberi dadah kepada anak-anak mereka selain membawa ke tempat mereka menghisap bahan khayal atau ketika membelinya.
“AADK menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada penagih di bawah umur 18 tahun di peringkat komuniti dan di dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik dengan menggunakan pendekatan bio-psiko-sosial-spiritual.
“Semua program ini disediakan bagi membantu penagih kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif dan mengekalkan kepulihan,” katanya.
Selain itu, AADK turut membantu penagih yang sudah pulih untuk mengikuti pendidikan formal melalui Program Akses Klien seterusnya menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia.-K! ONLINE














