fbpx

250 rumah di Ipoh terjejas akibat banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membantu membawa warga emas ke kawasan selamat selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Ipoh.- FOTO: IHSAN JBPM PERAK

IPOH – Kira-Kira 250 buah rumah di lebih 10 kawasan di Ipoh terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat hampir sejam, petang tadi.

Antara kawasan yang terlibat ialah Lebuh Bercham, Taman Kinta Emas, Taman Cempaka, Kampung Tasek, Taman Desa Impian, Persiaran Tasek Timur 7, Taman Seri Gaya, Jalan Salak, Kampung Sungai Rokam dan kawasan sekitar Ampang serta Bercham.

Paras air di beberapa lokasi naik sehingga paras pinggang namun tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, hujan lebat sejak pukul 7.15 petang hingga 8 malam itu menyebabkan longkang berdekatan tidak mampu menampung kapasiti air hujan yang banyak.

Katanya, air yang naik mendadak itu telah menjejaskan kira-kira 250 buah rumah di beberapa kawasan.

“Terdapat dua orang warga emas mohon bantuan untuk dipindahkan ke kawasan selamat dan mereka telah dibawa waris ke lokasi lain.

“Tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini. Pemantauan sedang dijalankan di kawasan terjejas daripada semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan berkaitan kejadian banjir kilat itu pada pukul 8.27 malam dengan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Operasi dibantu BBP Simpang Pulai dan BBP Meru Raya selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru serta Pasir Pinji,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI