fbpx

Pelancong ke Sarawak naik lima kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Karim (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail pada sesi pelancaran Sia Sitok Sarawak Plus di Akademi Malaysia Airlines hari ini.

PETALING JAYA – Jumlah ketibaan domestik ke Sarawak pada Disember lalu merekodkan peningkatan sebanyak 562 peratus berbanding Disember 2020, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelasnya, pihaknya turut mengharapkan lonjakan yang hampir sama dalam tempoh masa terdekat, iaitu bagi bulan Januari dan Februari tahun ini.

“Bermula 14 Januari, jumlah penerbangan ke Sarawak telah meningkat kepada 562 penerbangan seminggu, berbanding hanya 307 penerbangan seminggu sebelum ini.

“Sebelum pandemik, jumlah penerbangan ke Sarawak adalah sekitar 600 seminggu, bermakna kami sudah semakin menghampiri paras normal,“ katanya pada majlis pelancaran kempen kembara Sia Sitok Sarawak Plus di sini semalam, anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Malaysia Aviation Group (MAG).

Sia Sitok Sarawak, yang membawa maksud Sana Sini Sarawak memberi peluang kepada pelancong untuk mengunjungi Bumi Kenyalang menerusi pintu pelancongan utamanya iaitu Kuching, Sibu dan Miri, dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.

Pelancong ditawarkan akses kepada 57 pakej pelancongan menarik di Sarawak dan tempahan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 28 Februari 2022, untuk kembara sehingga 30 April 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, Sia Sitok Sarawak sebelum ini diperkenalkan ketika musim pandemik khusus untuk penduduk negeri itu, namun ia kini telah diperluaskan kepada penduduk di Sabah dan Semenanjung.

“Sebelum pandemik, 52 peratus daripada pasaran pelancongan di Sarawak adalah pelancong domestik dan segmen ini merupakan keutamaan kami ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI