fbpx

Aweera, Nikki, Aliff ke final GV8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Menepati ramalan. Aweera dan Nikki Palikat merupakan antara enam nama yang diumum layak ke ke pentas akhir Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) minggu depan.

Selain dua nama tersebut, Aliff Aziz, Azan Scan, Adibah Noor dan Suki Low turut mara ke final bagi merebut gelaran juara GV8.

Pada segmen Ada Lagu Ada Lagi, Aweera yang berjaya meraih markah tertinggi daripada tiga juri tetap dan seorang juri jemputan sekaligus menjadi peserta pertama diumumkan berjaya ke final.

Dalam pada itu, pada konsert semi final turut menyaksikan penyingkiran dua peserta iaitu Ani Mayuni dan Shidee.

Menurut Datuk Ramli MS yang merupakan juri tetap GV8, penyingkiran dua peserta tersebut sebenarnya sudah dijangka.

“Mereka tersingkir dan memang sudah dijangka memandangkan persembahan kedua-duanya tidak begitu bagus berbanding peserta lain.

“Aweera pula sememangnya layak mendapat tempat pertama malam ini kerana memberi persembahan yang sangat hebat berbanding sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Online malam ini.

Akui Ramli, GV8 merupakan sebuah musim yang sukar untuk mencari juara.

“Ya musim ini memang sukar nak cari juara.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi juara minggu depan, asalkan mereka berikan sesuatu yang hebat,” ujarnya.

Konsert akhir GV8 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya mengembalikan semula jumlah finalis asal iaitu seramai enam orang berbanding pada tahun lalu sebanyak tujuh peserta.

Pada konsert akhir minggu depan, kesemua peserta diberi tugasan untuk mendendangkan tiga buah lagu iaitu lagu solo, duet dengan penyanyi jemputan dan battle bersama peserta lain.

GV8 kekal dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Penjurian masih ditangani Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat selaku juri tetap manakala Datuk Rosyam Nor diundang sebagai juri jemputan pada malam ini. – K! ONLINE

POPULAR