fbpx

Kilang logam cemarkan longkang awam didenda RM32,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kilang fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai didapati mencemarkan longkang awam semalam.

SEBERANG PERAI – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah premis fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai di sini membuang bahan buangan ke dalam longkang awam mengundang padah apabila dikompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis berkenaan didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai dan membuang efluen tanpa rawatan.

“Selain kompaun sebanyak RM32,000, penahanan operasi kelengkapan premis turut dibuat semasa pemeriksaan tersebut bagi tujuan menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan.

“Pihak premis telah diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan berjadual yang dihasilkan dapat diurus mengikut perundangan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kilang tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Tambahnya, para pengeluar buangan terjadual di negeri ini diingatkan agar sentiasa menguruskan buangan terjadual mengikut tatacara pengurusan seperti yang ditetapkan Ketua Pengarah Alam Sekeliling bagi mengelak dikenakan tindakan. – K! ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI