fbpx

Beberapa jalan utama di Ipoh ditutup sempena Thaipusam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Beberapa jalan di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 8 malam esok hingga 9 pagi, Khamis ini bagi memberi laluan kepada perarakan Thaipusam, Selasa ini.

Kawalan lalu lintas sepanjang perayaan berlangsung itu juga bagi melancarkan pergerakan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penutupan dan lencongan jalan peringkat pertama esok, bermula pukul 8 malam hingga 1 pagi pada Isnin.

Katanya, laluan yang terlibat adalah Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Lahat, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Laxamana, Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Dato Ahmad Said.

“Bagi peringkat kedua, penutupan dan lencongan jalan di sekitar kawasan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh bermula pukul 8 pagi, Isnin ini hingga pukul 9 malam pada Rabu.

“Lalu lintas di lokasi perayaan akan dilencongkan dari Jalan Raja Musa Aziz ke Jalan Raja Ashman Shah dan Jalan Raja Musa Aziz melalui Bulatan Sultan Iskandar manakala lalu lintas dari lampu isyarat Jalan Padang Tembak dan Jalan Raja Musa Aziz menghala ke Gunung Cheroh dilencong ke Jalan Medan Istana.

“Lalu lintas dari Jalan Medan Istana dilencong ke Jalan Raja Musa Aziz arah Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab/Jalan Tun Abd Razak manakala lalu lintas dari arah Jalan Dato Onn Jaafar dilencong ke Jalan Raja Musa Aziz ke Jalan Sultan Idris Shah,” katanya.

Katanya, penutupan dan lencongan jalan peringkat ketiga pula membabitkan pergerakan balik pedati dari Gunung Cheroh ke Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari bermula 5 petang Rabu ini hingga 9 pagi hari Khamis. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI