fbpx

Bantu pesalah remaja jadi ‘orang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan Daniel Iskandar dibawa anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Selayang semalam.

Jujurnya, penulis rasa tersentuh mengenai nasib seorang remaja berusia 19 tahun yang dihukum penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh mahkamah setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri tabung masjid.

Semasa ditangkap, ahli jawatankuasa masjid terbabit dikatakan telah memandikan serta melumur kapur barus terhadap remaja tersebut seperti jenazah sebagai hukuman atas kesalahannya.

Video mengenai hukuman tersebut juga menjadi tular di media sosial.

Ketika di mahkamah, peguam kepada remaja itu telah merayu hukuman ringan kerana ketika kejadian tertuduh dikatakan dalam keadaan terdesak menggunakan wang untuk datuknya yang sakit.

Kata peguam itu lagi, remaja itu merupakan anak sulung dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun (darjah dua).

Dia tinggal dengan datuknya berusia 70-an dan mereka bukan orang senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran.

Memang penulis tidak nafikan perbuatan mencuri memang satu kesalahan dan mahkamah telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Tetapi jika benarlah apa yang dinyatakan oleh peguam tersebut, rasanya kita sebagai masyarakat juga harus dipersalahkan sehingga remaja itu menjadi sedemikian.

Dengan keadaannya yang tidak dibesarkan oleh ibu bapa sendiri dan bukan pula dari kalangan orang berada, mungkin remaja itu terpaksa melalui kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Malah, mungkin juga dia tidak mendapat didikan yang sempurna serta kasih sayang seperti insan-insan bertuah yang lain.

Kesalahan yang dilakukan remaja itu juga mungkin akibat daripada ketidakmatangannya dalam mendepani permasalahan hidup. Lebih-lebih lagi usianya baru 19 tahun, masih mentah.

Mungkin hukuman penjara yang terpaksa dilalui oleh remaja tersebut akan menyedarkannya terhadap kesalahan yang telah dilakukan, namun rekod menjalani hukuman itu akan terus kekal menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.

Malah, mungkin juga akan menyukarkan kehidupannya kelak.

Dalam perkara ini, penulis merasakan kita sebagai masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar untuk mengambil tahu tentang keadaan dan nasib mereka yang kurang bernasib baik yang berada di sekeliling kita.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai jawatan baik di peringkat surau, masjid mahupun pemimpin masyarakat di semua peringkat.

Pada masa-masa hadapan, mungkin kita boleh menggunakan pendekatan yang lebih bersifat mendidik terutama dalam mendepani kes-kes jenayah yang melibatkan golongan remaja.

Tindakan bijaksana masyarakat sangat penting kerana, kita bukan sahaja mahu remaja yang melakukan kesalahan itu sedarakan kesilapannya, malah kita mahu mereka berubah menjadi insan yang lebih baik satu hari hari nanti.

Penulis yakin, tidak semua pesalah remaja ini akan membesar dan menjadi seorang penjenayah, sebaliknya kekhilafan mereka hanya lebih kepada kejahilan dalam kehidupan. Jadi sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, bantulah mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI