fbpx

Terowong terpanjang di Asia Tenggara guna TBM canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memasuki fasa baharu yang paling mencabar dengan pembinaan te­rowong berkembar terpanjang di Asia Tenggara melibatkan kira-kira 16.39 kilometer.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Kah Siong berkata, pembinaan terowong Genting ECRL itu menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) canggih dan terbesar pernah digunakan di negara ini yang dijangka bermula pada Mac depan.

“Terowong Genting merupakan terowong ECRL yang pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk beberapa terowong sedia ada.

“Dengan kapasiti pengorekan maksimum 700 meter sebulan, mesin TBM ini dijangka memakan masa selama tiga tahun untuk melengkapkan penembusan Terowong Genting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan ke tapak pembinaan terowong Genting ECRL di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Seri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim.

Menurut Kah Siong, kerja pembinaan terowong Genting ECRL dalam Seksyen C ini akan melibatkan 10 kilometer kawasan di negeri Pahang dan selebihnya adalah di Selangor.

Tambah beliau, dengan kepakaran yang ada pada tenaga kerja dan kecanggihan mesin TBM, ia akan dapat memastikan kerja penggalian melibatkan batuan keras dapat dilaksa­nakan dengan baik dan lancar.

Dalam pada itu katanya, me­sin TBM telah siap 85 peratus dipasang diikuti dengan pro­ses pemeriksaan ketat serta siri-siri ujian sebelum dibenarkan ber­operasi.

“Dengan peralatan sokongan yang menempatkan bilik kawasan dan pencawang, mesin TBM ini mempunyai berat 1,600 tan dan panjang 266 meter menjadikannya TBM terbesar untuk kerja pengorekan terowong rel di Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, projek ECRL dengan laluan sepanjang 665 kilometer melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu dijangka siap menjelang 2026.

POPULAR