fbpx
Villas Las Estrellas mempunyai bilangan penduduk maksimum seramai 100 orang. – AFP

Pekan di Antartika arah bakal penduduk buang apendiks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU KING GEORGE, CHILE – Sebuah pekan terpencil di benua Antartika melaksanakan peraturan yang mewajibkan penduduk yang bakal menetap di situ untuk menjalani prosedur membuang apendiks, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Villas Las Estrellas, satu dari dua kawasan penempatan manusia di Antartika mempunyai bilangan penduduk maksimum seramai 100 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada para penyelidik dan anggota tentera.

Mereka yang ditempatkan di situ menerusi kontrak jangka panjang perlu memastikan diri sendiri dan ahli keluarga untuk membuang apendiks sebelum dibenarkan menetap di kawasan tersebut.

Ini disebabkan oleh lokasi hospital terdekat yang terletak pada jarak 1,005 kilometer, sekali gus akan mengancam nyawa sekiranya terdapat individu didapati menghidap apendisitis dan tidak dirawat dengan segera.

Sistem penjagaan kesihatan yang terhad juga membuatkan penduduk wanita tidak digalakkan untuk hamil sepanjang tempoh mereka menetap di situ.

Selain itu, ketika musim sejuk, penduduk diarahkan untuk kekal berada di dalam rumah atau mereka berdepan dengan risiko mati kesejukan ekoran suhu yang boleh jatuh di bawah paras -47 darjah Celsius. Suhu pada musim panas adalah sekitar 2 darjah Celsius.

Kemudahan lain yang disediakan di pekan itu adalah pejabat pos, sebuah sekolah kecil, sebuah bank dan beberapa kemudahan asas lain.

Villas Las Estrellas juga merupakan sebuah lokasi tumpuan pelancong yang popular dengan tarikan-tarikan seperti penguin, kawasan ski dan ekspedisi kereta salji. – AGENSI 

 

POPULAR