fbpx
Nur Shella dan ayahnya, Abdullah menunjukkan 'megi janda anak enam' yang dimasak dengan buluh di Kedai Megi Dapo Arang Jijo, Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus semalam.

‘Megi janda anak ramai’ jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Percubaan berani pasangan suami isteri memperkenalkan menu mi segera yang dimasak menggunakan buluh menjadi apabila mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Nur Shella Abdullah, 28, berkata, satu lagi menu ialah mi segera bersaiz besar yang dinamakan ‘megi janda anak ramai’ juga dicari pelanggannya untuk menjamu selera sepanjang musim tengkujuh ini.

Katanya, dia dan suami, Wan Ahmad Faizal Ahmad Azahar, 30, mula berniaga mi segera yang dimasak menggunakan dapur arang mulai Mac tahun lalu.

“Begitupun, bagi mencipta kelainan, kami perkenalkan mi segera dimasak di dalam buluh seolah-olah memasak lemang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Pekerja Kedai Megi Dapo Arang Jijo menghidangkan mi segera yang dimasak dalam buluh di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.

Nur Shella berkata, walaupun mi segera buluh memerlukan kira-kira 25 minit untuk siap dimasak, ia menghasilkan aroma dan rasa lemak yang unik dan berbeza.

“Mi segera dijual pada harga semurah RM3 dan mempunyai pilihan pelbagai makanan laut yang dijual mengikut harga pasaran.

“Bagi mi segera yang dimasak dengan buluh, caj tambahan RM6 dikenakan dan sam­butan diterima sangat hebat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nur Shella memberitahu, buat masa ini, kedainya hanya mampu menyediakan 100 hidangan mi segera yag dimasak dengan buluh dalam sehari berikutan faktor masa dan bekalan buluh.

Dalam pada itu, katanya, menu megi janda anak ramai pula agak istimewa kerana dimasak bersama pelbagai makanan laut seperti udang galah, ke­tam, sotong, kepah dan lala.

“Setiap hidangan ini boleh dimakan sehingga empat orang dan sesuai untuk dimakan bersama keluarga. Harganya antara RM40 hingga RM50 semang­kuk,” ujarnya.

Kedai Megi Dapur Arang Jijo dibuka antara pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam setiap hari kecuali Rabu.

POPULAR