fbpx
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

Janda didakwa dera, cili mata, mulut anak teman lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Seorang janda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menekap muka anak teman lelakinya berusia enam tahun di atas papan seterika dan menenyeh cili di mata, mulut serta pipi mangsa, tahun lalu.

Tertuduh, Chan Wan Ting, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun telah mendera anak itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di mana tangan kanannya mengalami luka.

Pipi kanan mangsa juga terdapat kesan akibat ditekap di atas papan seterika yang panas.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10.15 pagi di rumah teman lelakinya di Taman Merdeka, Batu Berendam pada 2 Ogos 2021.

Tertuduh juga didakwa telah mendera mangsa sama yang merupakan anak teman lelakinya dengan mengakibatkan kecederaan pada mulut, kedua belah pipi dan mata kanan menggunakan cili.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 7 pagi sehingga 8 pagi di tepi jalan di Taman Merdeka pada pertengahan bulan Mei 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi kedua-kedua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menjaga dua orang anaknya, selain menganggur selepas hilang pekerja sebagai kerani tahun lalu.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Beliau turut menetapkan tarikh 15 Februari depan sebagai sebutan semula dan serahan laporan perubatan serta forensik kes. – K! ONLINE

POPULAR