PETALING JAYA – Walaupun restoran makanan segera turut mengalami kenaikan harga seperti restoran mamak, nasi kandar dan Melayu, namun rangkaian francais itu kurang mendapat rungutan daripada pelanggan, sebaliknya premis tersebut sentiasa dikunjungi ramai.
Menu menarik, suasana selesa dan menyediakan pelbagai perkhidmatan terutama pandu lalu serta pesanan online antara punca restoran makanan segera tetap menjadi pilihan biarpun sebahagian harga hidangan yang dijual agak mahal.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, sebahagian hidangan yang dijual di restoran makanan segera juga mengalami kenaikan harga, tetapi kurang mendapat rungutan daripada pelanggan.
Menurutnya, jika di restoran nasi kandar atau Melayu, isu kenaikan harga sememangnya mendapat perhatian pengguna dan mereka mudah untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Harga makanan segera ada yang mahal dan ada juga berpatutan, tetapi rakyat Malaysia tidak kisah kerana makanan yang disediakan memenuhi cita rasa selain tidak perlu menunggu lama untuk membelinya.
“Rata-rata restoran ini memang akan sentiasa ramai orang tidak kira waktu dan juga disebabkan publisiti dan pengiklanan yang lebih menarik yang dilakukan pihak pengurusan, tidak seperti di kedai makan lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: ‘Nasi kandar, roti canai naik harga’
Mohd. Yusof berkata, kebanyakkan pelanggan yang memilih untuk membeli di restoran makanan segera terdiri daripada golongan yang sibuk bekerja serta mereka yang berpendapatan sederhana dan ke atas.
Bagaimanapun, katanya, golongan berpendapatan rendah juga turut menyukai hidangan di restoran makanan segera, tetapi mungkin hanya mampu menikmatinya sebulan sekali ekoran kekangan pendapatan.
“Walaupun masyarakat sering mengeluh mengenai kenaikan harga bahan mentah, kadar pemberian gaji rendah serta harga makanan yang mahal di restoran, namun mereka masih mengamalkan gaya hidup yang sama.
“Mereka berbelanja tanpa membuat sebarang perancangan yang lebih teratur bagi mengawal perbelanjaan,” ujarnya.

Kosmo! Ahad lalu melaporkan, peminat nasi kandar dan roti canai kini perlu membayar harga yang lebih mahal berbanding biasa apabila kebanyakan premis terutama yang beroperasi di Lembah Klang terpaksa menaikkan harga makanan itu ekoran peningkatan kos bahan mentah.
Pada Isnin lalu pula, Kosmo! melaporkan peningkatan mendadak kos bahan mentah sejak kebelakangan ini meletakkan golongan peniaga restoran Melayu dalam keadaan tersepit sama ada mahu menaikkan harga makanan atau kekal dengan harga sedia ada.














