fbpx

Kain rentang jadi dinding rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faridah bergambar di hadapan rumah yang berdindingkan kain rentang di Jalan Pusara Batu 12, Kapar.

KLANG – Kesusahan hidup yang dihadapi sebuah keluarga di Jalan Pusara Batu 12, Kapar di sini memaksa mereka menggunakan kain rentang iklan dan plastik sebagai dinding rumah.

Selain untuk menutup bahagian luar rumah, kain rentang yang digunakan sejak lebih dua tahun lalu itu turut menjadi pelindung kepada keluarga berkenaan daripada panas terik matahari dan hujan lebat.

Faridah Kassim, 62, berkata, rumah usang yang diduduki itu dibina oleh arwah suaminya di atas rizab, tidak jauh dari lokasi rumah lama mereka.

Menurutnya, rumah lama sebelum ini dibina atas tanah orang lain, namun mereka terpaksa berpindah selepas pemilik tanah mahu mengusahakan kawasan berkenaan.

“Mahu baiki rumah ini pun sukar kerana kewangan tidak mencukupi, jadi kami gunakan sahaja kain rentang yang ada selain plastik sebagai dinding rumah.

“Saya mempunyai tiga anak lelaki berusia 20 hingga 35 tahun, tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap menyebabkan kerja-kerja baik pulih rumah tergendala sehingga kini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Faridah, dia menerima bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan dan duit itu hanya cukup untuk membayar bil elektrik dan air selain keperluan makanan harian bersama anak-anaknya.

Tambahnya, kejadian banjir bulan lalu menimbulkan kebimbangan memandangkan kediaman mereka terletak berhampiran dengan parit.

Jelas Faridah, rumahnya telah dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter sehingga mengakibatkan perabot dan pakaian harian rosak ditenggelami banjir.

“Sedih apabila memikirkan keadaan kami, kalau rumah ini ranap, tidak tahu lagi mahu berpindah ke mana memandangkan kami pun serba kekurangan selain tidak mempunyai tanah untuk membina rumah baharu,” katanya.

Justeru, mereka yang ingin membantu Faridah boleh menghubunginya di talian 011-5140 3017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI