fbpx

Farisha Iris tak percaya gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISHA IRIS

PENYANYI muda berusia 22 tahun itu tidak pernah jemu memperkenalkan bakat nyanyian yang dimiliki. Baginya, itu adalah minat dan sudah sebati dalam diri.

Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besarnya harapan Farisha Iris, atau nama sebenarnya Farisha Asmadi untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya muziknya.

Laluan Farisha bagaimanapun tidak bukan mudah. Biarpun sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk program realiti Big Stage musim ketiga, semuanya masih di tahap mendatar. Namun Farisha tetap berpegang pada prinsip tidak akan sesekali berputus asa.

Pendekatan sama diamalkan saat mempromosikan sebarang produk atau karya baharu, dia tidak mahu mengambil jalan pintas mencipta gimik murahan semata-mata untuk popularkan atau meledak jadi sebutan.

Akui Farisha, itu bukan cara yang sepatutnya diambil seseorang penyanyi selai secara peribadi tidak selesa dengan cara sebegitu.

“Gimik daripada pandangan netizen, mereka cepat percaya dan suka dengan ‘drama’ yang hebat, sekali gus, dapat menarik perhatian dan promosi percuma. Sudah pasti perkara itu dapat menaikkan nama.

“Namun, dari pandangan saya sebagai penyanyi, saya tidak gemar untuk melakukan sebarang gimik.

“Biarlah setiap apa yang dihasilkan itu secara semulajadi selain dapat menarik perhatian umum dengan sendirinya.

“Walaupun, sambutan tidak sehebat berbanding guna gimik tapi itulah kenyataan,” katanya.

MENGAKUI laluan kerjaya nyanyiannya tidak mudah berbanding rakan seangkatan lain, Farisha tetap berpegang pada prinsip tidak akan sesekali berputus asa.

Bergerak seiring

Farisha sebaliknya mempunyai pendekatan tersendiri agar lagu dan namanya bergerak seiring tanpa perlu melalui satu fasa harus berdepan kecaman orang ramai atau netizen terlebih dahulu.

“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya adalah kena letakkan usaha yang lebih dari segi bakat, dari segi pemilihan lagu dan tambahkan pengalaman dalam industri.

“Sekarang, saya terfikir juga untuk ambil kelas vokal.

“Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain. Selain menyanyi, mungkin berlakon atau mengacara, siapa tahu. Sebab kita tak tahu pada akhirnya nanti apa yang sesuai dan sebati dengan diri sendiri.

“Andai kata saya tidak ada rezeki dalam nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,” katanya.

Selepas muncul dengan single Hello pada awal tahun lalu, Farisha kini melancarkan pula single Baek yang turut menampilkan kolaboratif dengan penyanyi rap, Alan D.

Lagu ciptaan komposer Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan, terbitan 17 Eleven Music tersebut dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari lalu.

“Pada awal 2021, saya sudah ulang alik ke studio Mass Music untuk lebih kenal dengan komposer dan penulis lirik lagu Baek.

“Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan kejujuran dan mencari lelaki yang setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita itu minta lelaki pilihan menjaga dirinya dengan baik, setia dan gembira.

“Cabaran merakamkan lagu ini adalah, saya kena sesuaikan diri dengan genre pop, sebab bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan.

“Walaupun, bunyi macam senang nak nyanyi, tapi saya berdepan cabaran vokal. Nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung.

“Ini kerana saya utamakan pandangan penyanyi senior dalam industri untuk mendengar muzik dan vokal yang berkualiti. Dalam masa sama, pendengar pun menjadi keutamaan saya, sebab siapa lagi yang akan menyokong bakat saya kalau bukan mereka,” katanya lagi.

FARISHA tidak meletakkan keyakinan terhadap keberkesanan gimik atau publisiti murahan untuk memasarkan sesebuah karya seni.

Genre Baek

Mengenai genre lagu Baek itu, Farisha turut berasa kagum dengan melodi yang terhasil.

“Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah mula kagum dengan melodi dan gubahannya. Sudah tentu disebabkan genre juga. Jadi, saya sudah mula untuk mencuba dekatkan diri dengan genre pop yang ada bahagian rap.

“Saya juga tertarik dengan idea ‘feat’ atau berkolaborasi bersama penyanyi rap. Sebab saya sangat berbesar hati untuk ada pengalaman ‘featuring’ dengan mana mana penyanyi.

“Kiranya macam saya dapat peluang baharu pada masa sama memberi peluang kepada penyanyi baharu atau lama melebarkan lagi bakat masing- masing,” katanya.

Dalam masa sama, Farisha berkata genre lagu Baek bukan mudah untuk dinyanyikan.

“Tahap kesukaran Baek berbanding lagu sebelum ini tak banyak beza. Saya berasakan ada baiknya cuba kuasai genre yang ringan sebelum nak bawa genre yang lebih berat macam balada, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Saya tak nak menyanyi asal boleh dan sedap di telinga sendiri sahaja,” katanya.

Ditanya berkenaan kolaborasi dengan rapper Alan D, Farisha cukup teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D berjudul Luka.

“Saya suka mendengar lagu itu. Saya juga teruja apabila dapat tahu lagu Baek ini ada bahagian rap,” katanya.

SELEPAS muncul dengan Hello pada awal tahun lalu, Farisha kini melancarkan pula single Baek yang turut berkolaborasi dengan rapper Alan D.

Alan selesa

Sementara itu, Alan D mengakui senang bekerjasama dengan Farisha.

“Peribadi Farisha yang sentiasa positif dan berfikiran terbuka membuatkan lagu ini ‘menjadi’. Saya amat senang hati dan gembira dengan tenaga dan aura yang dibawa

Farisha semasa rakaman lagu dan video muzik. Dia seorang yang aktif dan penuh semangat.

“Bagi saya, lagu ini boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian. Selain itu, saya dan Farisha mempunyai suara yang unik menjadikan lagu ini amat sesuai dengan ton suara kami.

“Genre lagu ini kontemporari hip-hop. Tambahan pula bahagian korus lagu ini menarik dan ‘catchy’ senang untuk pendengar menyanyi bersama,” katanya.

Seperti Farisha, Alan berharap lagu Baek ini diterima peminat muzik tanah air.

“Harapan saya, apabila orang mendengar lagu ini akan ikut bersama menyanyi dan sekali gus menghayati setiap bait lirik.

“Saya harap setiap pasangan bercinta, atau dalam perhubungan mahu pun sudah berkahwin, sayanglah antara satu sama lain dan jaga baik baik pasangan anda. Hargai pasangan anda dan buktikan sayang itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI