fbpx

RM1.772 bilion khusus bantuan penerima JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina beramah mesra bersama warga kementerian KPWKM pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengkhususkan RM1.772 bilion atau 71 peratus daripada RM2.5 bilion jumlah peruntukan belanja mengurus kepada bantuan kebajikan melibatkan 517,414 penerima di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, penerima bantuan tersebut terdiri daripada pelbagai kategori dan peruntukan kepada mereka yang memerlukan itu bagi membantu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Ini juga selaras dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan penggunaan Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

“Perubahan ini akan melibatkan RM200 juta bagi tahun ini untuk bayaran kebajikan di bawah JKM. Kenaikan PGK ini memerlukan perhatian khusus oleh kementerian,” katanya pada sidang akhbar perhimpunan bulanan kali pertama tahun 2022 KPWKM di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan menggunakan PGK 2019 ini, dijangka akan lebih ramai lagi permohonan daripada mereka yang terkesan dengan anggaran penerima mencecah 550,000 orang.

Dalam pada itu, katanya, untuk keseluruhan pada tahun ini, KPWKM telah diperuntukkan sebanyak RM2.68 bilion iaitu pertambahan peruntukan sebanyak RM116.8 juta bersamaan 4.56 peratus berbanding tahun lalu.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 bilion di bawah peruntukan mengurus manakala, RM175.42 juta pula melibatkan peruntukan pembangunan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran-cabaran dilalui termasuk berdepan situasi Covid-19 sejak tahun 2020 yang memerlukan kehidupan norma baharu turut memberi pengalaman kepada kementerian tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI