fbpx

Peruntukan RM100 juta di bawah insiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican (kanan) bersama Mahdzir pada sidang akhbar pelaksanaan pembinaan rumah pasca banjir di Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masing-masing diperuntukkan RM50 juta bagi usaha tersebut di mana kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi baik pulih rumah dan RM56,000 (kos bina baharu).

Katanya, tanggungjawab bersama tersebut dilaksanakan secara bersepadu dengan KPKT bertanggungjawab bagi rumah-rumah (kategori bandar) di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala KLPB pula bertanggungjawab bagi rumah-rumah (kategori luar bandar) di luar kawasan pentadbiran PBT.

“Inisiatif ini juga akan melibatkan peranan pelbagai pihak antaranya di peringkat agensi pusat iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

“Antara lain ialah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kerajaan negeri terlibat banjir dan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, pelaksanaa Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia adalah meliputi tiga fasa, dengan Fasa 1 melibatkan kerja pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di peringkat daerah.

Menurutnya, penyelarasan data di peringkat negeri dijalankan oleh kerajaan negeri dan maklumat rakyat yang terkesan akan dikumpulkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM) sebagai Pusat Data Utama mangsa banjir.

“Fasa 2 pula melibatkan pelaksana dan agensi penilai iaitu KPKT, KPLB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri dalam pemeriksaan, penilaian dan verifikasi data-data yang telah dikumpulkan.

“Manakala Fasa 3 pula adalah kerja-kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudiannya akan dilaporkan semula kepada ICU, JPM selaku Pusat Data Utama Mangsa Banjir,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI