fbpx

Oh My Hantaran tumpang populariti Noki, MK?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA jejaka hangat dari Sabah, Noki dan MK menjadi daya tarikan drama bersiri Oh My Hantaran.

MEMBARISKAN pelakon baharu sebagai teraju utama dalam mana-mana drama merupakan risiko terbesar yang diambil oleh pengarah mahupun penerbit.

Jika silap percaturan, drama yang hendak ditayangkan mungkin tidak menjadi atau sebaliknya.

Namun, nasib sangat menyebelahi pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua apabila keputusannya memilih penyanyi rap, Noki K-Clique ternyata menjadi.

Dedah Shuhaimi, dia mengakui pernah meragui kebolehan Noki untuk memegang watak utama dalam drama bersiri arahannya, Oh My Hantaran.

Katanya, selain masih hijau dalam bidang seni, Noki juga tidak mempunyai pengalaman sebagai pelakon lebih-lebih lagi sebagai bintang utama drama berepisod.

“Sejujurnya saya sendiri kurang yakin apabila diminta untuk mengambil Noki sebagai pelakon utama bergandingan bersama Elisya Sandha. Malah, saya bertanya sekali lagi kepada stesen televisyen mengenai pilihan mereka.

“Pada mulanya memang mereka nampak kekok, namun hari kedua dan seterusnya, Noki sudah lebih yakin dan selesa. Dia juga tidak bergantung sepenuhnya dengan skrip dan menambah baik mana-mana babak mengikut keselesaan.

“Rasanya tidak salah untuk kita memberi peluang kepada pendatang baharu mencuba nasib dalam bidang lakonan. Hal ini kerana industri kita juga semakin kekurangan pelapis untuk menyerikan drama atau filem pada masa hadapan,” katanya.

Jual pelakon

Dalam pada itu, Shuhaimi tidak menafikan pemilihan Noki dan seorang lagi penyanyi rap terkenal iaitu MK sebagai pelakon utama mampu menjadi aset dengan harapan dapat menjual drama sekali gus mengejar rating yang tinggi.

Katanya, populariti yang dimiliki oleh dua anggota kumpulan K-Clique itu sedikit sebanyak dapat menarik para peminat mereka untuk menonton drama tersebut.

“Ya, memang saya tidak nafikan pemilihan Noki dan MK dapat membantu untuk menaikkan populariti drama ini.

“Memang orang akan nampak saya seperti menjual dan menggunakan populariti mereka menerusi drama tetapi ini juga boleh menjadi platform kedua-duanya menyerlahkan lagi bakat lakonan yang dimiliki,” ulasnya.

Ditanya mengenai babak yang memaparkan Noki tidak berbaju, Shuhaimi bagaimanapun menafikan dakwaan dia mengeksploitasi tubuh badan sasa yang dimiliki pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

“Saya sama sekali tiada niat menyalahguna atau mengeksploitasikan tubuh badan sasa yang dimiliki Noki. Dia okey untuk melakonkan babak tersebut.

“Sejak momen tersebut, saya lihat dia sebagai pelakon yang tidak takut untuk meneroka dan cuba perkara baharu,” ujarnya yang menganggap MK dan Noki berpeluang untuk menempa nama dalam dunia lakonan.

Noki pemalu, tenaga Elisya besar

Sementara itu, Elisya mengakui sukar untuk mendekati gandingannya kerana sikapnya yang pemalu dan tidak banyak bercakap.

Elisya berkata, Noki semakin selesa pada hari kedua dan memudahkan keserasian antara mereka untuk menjayakan drama yang ditayangkan menerusi TV9 tersebut.

“Pada hari pertama penggambaran, memang sukar untuk mencari keserasian ditambah pula Noki memang kelihatan sangat gemuruh. Mungkin juga disebabkan tenaga yang saya beri terlalu besar,” tuturnya lagi.

Menurut Elisya, biarpun pada awalnya sukar mewujudkan keserasian, segalanya berlangsung dengan baik selepas masing-masing mula berborak dan saling berkenalan.

“Bercerita mengenai keserasian bersama Noki, memang pada mulanya kami belum sempat berkenalan rapat lagi. Mungkin ramai yang tidak tahu, Noki sebenarnya pemalu dan tidak banyak bercakap jika belum kenal.

“Namun apabila sudah selesa, memang banyak yang dibualkan. Biarpun kali pertama berlakon bersama, namun keserasian itu tidak susah untuk diwujudkan,” tuturnya lagi.

Drama 20 episod tersebut mula bersiaran sejak 29 Disember lalu, setiap Isnin hingga Khamis di slot Diandra saluran TV9 pukul 8.30 malam.

Oh My Hantaran mengisahkan Mira lakonan Elisya iaitu gadis idaman kampung yang bercinta dengan Mail (Noki), seorang pemuda kampung yang sangat menghormati orang tua.

Namun hubungan mereka tidak direstui dan bapa Mira meletakkan wang hantaran tinggi buat Mail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI