fbpx

Wanita serik kekasih kaki pinjam duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita tersebut sudah hilang kepercayaan terhadap teman lelakinya dan enggan meminjamkan wang lagi. – Pexels

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mendedahkan sikap jelik teman lelakinya yang sering meminjam wang daripadanya serta mengugut untuk mencederakan diri sendiri sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, lapor laman berita Berita Hits kelmarin.

Berdasarkan perkongsian yang tular di Twitter, wanita tersebut berkongsikan tangkap layar perbualan dirinya dengan teman lelakinya yang meminjam wang daripadanya sambil mengugut dan memberikan pelbagai alasan.

“Tolong pinjamkan saya wang kerana jika tidak, saya akan mencederakan diri sendiri. Kita sama-sama sudah dewasa, sepatutnya kamu memahami saya di saat susah begini dan bukannya marah-marah,” kata si lelaki menerusi pesanan ringkas.

Menurut lelaki tersebut, wang itu akan digunakan untuk membeli minyak petrol dan barangan keperluan harian.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang sudah hilang kepercayaan kepadanya bertanyakan mengenai wang yang telah dipinjam sebelum itu, yang belum dipulangkan.

Lelaki tersebut mengakui bahawa wang itu telah habis dibelanjakan disebabkan kesilapannya sendiri yang boros.

“Kamu yang buat salah mengapa saya yang perlu bersusah payah? Saya sudah tidak mampu membantu kamu,” jawab wanita tersebut.

Berang dengan reaksi itu, si lelaki menuduh teman wanitanya sudah tidak sayangkannya lagi lalu menghentikan perbualan.

Menurut wanita berkenaan, teman lelakinya tidak pernah membayar kembali wang yang dipinjam sejak dahulu sehingga kini, malah dia akan marah setiap kali diminta untuk melunaskan hutangnya.

“Duit kopi, rokok, minyak petrol, semuanya saya yang belikan. Kalau keluar berdua, dia selalu berpura-pura tidak bawa dompet. Ia menyebabkan saya yang perlu membayar semua perbelanjaan.

“Saya sedar bahawa hubungan ini sudah menjadi ‘toksik’, jadi saya meminta untuk memutuskan hubungan dengannya walaupun dia tidak bersetuju,” kata wanita itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN