fbpx

Polis tahan 13 pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pesalah trafik ditahan JSPT KL menerusi operasi mingguan yang dijalankan malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 13 individu kerana memandu dalam keadaan mabuk menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sekitar ibu kota, di sini malam tadi.

Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal itu bermula kelmarin sehingga malam tadi dengan kekuatan 59 pegawai serta anggota polis telah dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya membuat 21 tangkapan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Seramai 13 orang lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Selain itu, lapan orang lelaki berusia lingkungan 15 hingga 21 tahun turut ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi ‘zig-zag’, roket dan superman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 350 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita sembilan buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI