SETIAP negeri di Malaysia mempunyai persalinan tersendiri yang dipakai oleh masyarakatnya sejak zaman berzaman dan menjadi kebanggaan mereka.
Begitu juga dengan negeri yang mendapat jolongan Indera Kayanggan, Perlis mempunyai pakaian istimewa iaitu kebaya Perlis yang suatu ketika dahulu hanya dipakai oleh golongan istana dan bangsawan.
Kebaya Perlis merupakan pakaian yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu Perlis sebelum tahun 1930-an lagi.
Pada zaman dahulu, kebaya Perlis ini biasanya dipakai oleh golongan istana dan bangsawan di majlis-majlis keraian seperti kenduri atau majlis keramaian lain.
Pakaian ini mula dipakai oleh masyarakat Melayu di Perlis sebelum kedatangan Jepun dan menjadi sangat masyhur pada zaman pemerintahan Raja Perlis ke-4, Raja Syed Alwi.
———————————————————————————————————————————————–
TIGA helai baju tradisional negeri Perlis iaitu kebaya Perlis itu menjadi koleksi yang paling disayangi seorang tukang jahit, Azniyah Abu Bakar, 57, atau lebih mesra disapa Kak Yah dari Kampung Santan dekat Kangar, Perlis.
Pakaian tersebut dianggarkan berusia lebih 60 tahun dengan pemilik asalnya merupakan seorang wanita bangsawan dikenali sebagai Datin Aishah Abdullah yang sudah mencecah usia 94 tahun.
Baju kebaya Perlis tersebut dijahit sendiri oleh Aishah yang kini menetap di Kampung Tok Paduka, Kangar.
Menurut Kak Yah yang merupakan Pemaju Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bahagian Jahitan, dia beruntung kerana berpeluang melihat sendiri pakaian asal berkenaan yang menjadi identiti seni warisan dan budaya negeri itu.
“Saya beruntung kerana kira-kira sebulan lalu, pelanggan saya yang merupakan cucu kepada pemilik kebaya Perlis ini membenarkan saya menyimpan tiga baju kebaya Perlis ini.
“Dengan adanya kebaya Perlis jahitan asal ini, saya dapat meneliti ciri-ciri sebenarnya dan menjadikannya contoh untuk menghasilkan pakaian tradisional tersebut,” katanya ketika ditemui Panorama di Kangar baru-baru ini.
Katanya, kebaya Perlis suatu ketika dahulu hanya dipakai oleh golongan istana dan bangsawan.

AZNIYAH (kiri), Norazlin (tengah) dan seorang lagi kakitangan Kemas meneliti baju tradisional kebaya Perlis di Kangar baru-baru ini.–SHAHIR NOORDIN
“Kebaya Perlis ini antara ciri-cirinya adalah labuh, longgar, tiada tulang pada bahu, mempunyai kekek dan tiada lisu, manakala kain pula biasanya daripada jenis kasa rubia yang nipis serta jarang.
“Selain baju dipakai sedondon dengan kain, ia juga digayakan dengan kain pelekat atau batik panjang,” ujarnya yang mula menjahit sejak usia 23 tahun.
Ditanya beza kebaya Perlis dan kebaya-kebaya tradisional lain, Kak Yah berkata, perbezaannya tidak jelas kelihatan kerana melibatkan ciri-ciri jahitan yang tersembunyi.
“Namun, jika dibandingkan kebaya moden, kebaya moden kelihatan lebih ketat. Kebaya moden juga tiada kekek, tiada pesak dan ada tulang pada bahu.
“Kebaya Riau pula mempunyai pesak di tepi dan bajunya kembang di bahagian bawah,” terangnya.
Menurut Kak Yah lagi, bagi menarik minat golongan wanita terutama orang muda, kebaya Perlis kini dijahit tidak terlalu longgar dan mengikut potongan badan si pemakai.
“Jenis kain yang digunakan pada masa ini juga pelbagai seperti kapas, satin dan songket,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, dia mula belajar menjahit kebaya Perlis pada tahun 2006 dan mengambil masa kira-kira setahun sebelum menerima tempahan daripada pelanggan.
“Nak belajar jahit kebaya Perlis ini tidak susah tetapi nak dapatkan ukuran yang sesuai dan selesa dipakai agak mencabar.
“Bagi pakaian tradisional ini, jika dahulu biasanya ukuran asas adalah pada bahu kerana ia dipakai longgar, namun pada masa ini saya perlu ukur ikut badan pelanggan bagi mendapatkan ukuran paling tepat,” katanya.
Ujar Kak Yah lagi, pemakaian kebaya Perlis semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk negeri ini selepas kerajaan negeri menggalakkan pemakaian pakaian tradisional negeri ini dalam kalangan kakitangannya.

KERONGSANG hiasan diletakkan di bahagian lipatan hadapan kebaya Perlis bagi menambah seri.
“Sekarang saya terima tempahan kira-kira 50 pasang kebaya Perlis setiap bulan dengan setiap pasang saya ambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkannya,” ujarnya.
Kak Yah berharap usaha untuk mempromosi kebaya Perlis akan terus dipergiatkan dengan memastikan ciri-ciri utamanya terus dikekalkan.
“Saya sangat berharap kebaya Perlis turut menjadi pilihan golongan muda bukan sahaja di negeri ini, malah di seluruh negara,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Norazlin Nordin berkata, kebaya Perlis merupakan pakaian yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu Perlis sebelum tahun 1930-an lagi.
“Pada zaman dahulu, kebaya Perlis ini biasanya dipakai oleh golongan istana dan bangsawan di majlis-majlis keraian seperti kenduri atau majlis keramaian lain.
“Pakaian ini mula dipakai oleh masyarakat Melayu di Perlis sebelum kedatangan Jepun dan menjadi sangat masyhur pada zaman pemerintahan Raja Perlis ke-4, Raja Syed Alwi,” katanya.
Menyentuh keistimewaan kebaya Perlis, katanya, busana itu jika dilihat dari pandangan hadapan ia seakan-akan baju kebaya, namun dari pandangan belakang menyerupai baju kurung.
“Ia merupakan baju kebaya yang mempunyai kekek sama seperti baju kurung dan tidak bertulang di atas bahu,” kata Norazlin.
Tambahnya, pakaian tradisional itu juga diletakkan kerongsang hiasan di bahagian lipatan hadapan untuk menambahkan lagi seri si pemakai.

“Selain itu, si pemakai juga akan mengenakan barang kemas seperti subang atau anting-anting, rantai panjang berserta loket dan gelang tangan. Bagi melengkapkan lagi pemakaian kebaya Perlis, si pemakai akan bersanggul. Terdapat pelbagai jenis rekaan sanggul seperti sanggul lintang, sanggul lipat dan juga sanggul gulung dengan hiasan bunga melur, tanjung serta cucuk sanggul,” katanya.
Selain itu, kain batik turut dijadikan hiasan kepala yang dikenali sebagai kain kelumbung dan bahu dijadikan sebagai pelapik.
Katanya, busana kebaya Perlis sememangnya memiliki keunikan tersendiri dan bersifat malar segar.
“Ciri-cirinya yang sederhana dan sopan menjadikan busana ini menjadi pilihan dalam kalangan wanita di negeri Perlis tanpa mengira peringkat usia,” jelasnya.















