EKORAN kejadian banjir besar yang berlaku di beberapa negeri termasuk di Selangor baru-baru ini, ada pihak yang menyalahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang didakwa gagal memberikan amaran awal berhubung banjir.
Banjir yang melanda pada kali ini agak teruk memandangkan taburan hujan luar biasa direkodkan berbanding sebelum itu.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) jabatan itu, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip mendakwa, pihaknya sudah mengeluarkan amaran sejak 11 Disember lagi tentang adanya lekukan Tropika yang menyebabkan berlakunya hujan untuk makluman kepada orang awam.
——————————————————————————————————————————————–
KEJADIAN banjir buruk yang berlaku baru-baru ini terutamanya di Selangor ternyata telah memberi kesan mendalam kepada mangsa-mangsa terlibat. Siapapun tidak menduga bahawa hujan berterusan pada 18 Disember lalu di Lembah Klang itu menyebabkan berlakunya banjir buruk itu sehingga menyebabkan ramai penduduk terperangkap.
Ramai mangsa mendakwa tidak mendapat amaran awal bahawa banjir akan berlaku di kawasan mereka sehingga menyebabkan banyak harta benda musnah. Fenomena hujan luar biasa dan ditambah dengan fenomena air pasang besar di beberapa kawasan dikatakan menjadi sebab beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir.
Bagi membincangkan hal berkaitan fenomena hujan luar biasa dan isu-isu berbangkit lain, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Ada pihak mendakwa, orang ramai tidak bersedia untuk menghadapi banjir besar yang melanda banyak negeri terutama di Selangor hingga menyebabkan keadaan huru-hara baru-baru ini disebabkan kegagalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi amaran awal berkaitan bencana itu. Bagaimana tuan melihat perkara ini.
DR. MOHD. HISHAM: Sebenarnya, kalau kita tengok kejadian banjir yang berlaku di Selangor ia sebenarnya bermula di sebelah Pantai Timur.
Kita telah mengeluarkan amaran sejak 11 Disember lagi tentang adanya lekukan Tropika yang menyebabkan berlakunya hujan untuk makluman kepada orang awam.
Kita juga mengatakan bahawa hujan akan berlaku di Pahang pada 16 Disember dan makluman itu telah diberitahu lima hari lebih awal dan ia sentiasa dikemaskini.
Pada ketika itu, semua model ramalan kita meramalkan sistem lekukan Tropika akan bergerak dari
Pantai Timur bermula dari Kelantan dan menuju ke Utara Semenanjung dan amaran waspada dikeluarkan.
Tetapi ketika kita memantau situasi itu pada 16 Disember lalu, kita mendapati ramalan itu hilang.
Namun pada 17 Disember, berlaku pembentukan awan hujan di sebelah pesisir pantai Selangor dan kita serta merta mengeluarkan amaran daripada ribut petir kepada amaran hujan berterusan pada hari sama.
Dalam pada itu, dari segi penyampaian maklumat kepada orang awam, kita gunakan pelbagai medium seperti laman web, media sosial, televisyen dan lain-lain lagi.
Menurut mereka, tiada alasan untuk METMalaysia tidak dapat membangunkan sebuah model ramalan banjir lebih awal dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana agensi berkenaan dikatakan mempunyai superkomputer bernilai RM60 juta. Bagaimana pandangan pihak tuan dalam perkara ini?
Dalam hal ini, sebenarnya kita hanya memiliki mini superkomputer bernilai RM45 juta.
Berkenaan hal untuk membangunkan model ramalan banjir, ia di bawah tanggungjawab JPS.
Pihak JPS sendiri telah diberikan peruntukan untuk membangunkan sistem ramalan banjir selepas kejadian banjir besar di Kelantan pada 2014.
Model yang dibangunkan ini belum siap sepenuhnya dan ia merupakan satu projek jangka masa panjang.
Dalam hal ini, kami hanya boleh memberi hasil tentang ramalan cuaca daripada model kami untuk kegunaan model ramalan banjir.

Jelas pihak terbabit, kombinasi data dikeluarkan METMalaysia Weather Research and Forecasting Model MMD-WRF dengan data unjuran kenaikan paras air laut dan sungai yang boleh diramal JPS menggunakan perisian MIKE21 sebenarnya sudah cukup untuk mewujudkan satu sistem amaran awal banjir, sekurang-kurangnya sehari sebelum kejadian. Apa penjelasan tuan dalam hal ini?
Sebenarnya, JPS sememangnya sudah mempunyai perisian sendiri untuk Projek Ramalan Awal Banjir Negara.
Jadi, mereka ada perisian yang boleh mengukur paras air sungai dan amaran banjir diberikan jika berlaku.
Kini JPS menggunakan model ramalan mereka dan gabungkan dengan model ramalan cuaca kita agar ramalan boleh diberikan lebih awal.
Sekarang, pihak JPS boleh keluarkan amaran lebih awal hasil gabungan model kita dan mereka.
Sebagai contoh, untuk banjir yang berlaku di Kelantan, JPS telah mengeluarkan amaran tiga hari awal.
Dalam pada itu, terdapat pihak yang mahu peranan METMalaysia dikembangkan menjadi pusat pengumpulan dan penyelarasan data-data, sekali gus bertanggungjawab mewujudkan model ramalan awal banjir berdasarkan data bersepadu. Bagaimana ia boleh direalisasikan?
Sebenarnya ini bukan di bawah bidang kuasa kita, sebaliknya di bawah JPS.
Tetapi kita masih di bawah satu kementerian yang sama iaitu Kementarian Alam Sekitar dan Air.
Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh seperti mana di United Kingdom yang mana ada staf di bahagian pengairan dan saliran ditempatkan di pejabat Meteorologi.
Jadi, dengan ini sesuatu keputusan akan cepat dapat dibuat jika berlaku taburan hujan yang luar biasa.
Bagaimana bentuk kerjasama yang dimainkan oleh METMalaysia dengan agensi kerajaan lain yang terlibat secara langsung sekiranya berlaku bencana?
Dalam hal ini sebenarnya kita tertakluk dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 (MKN20).
Arahan ini jelas memberitahu tentang tugas dan peranan agensi masing-masing jika berlaku sesuatu bencana.
Jadi, setiap agensi di peringkat daerah dan negeri dan negara akan mengetahui tanggungjawab masing-masing.
Selain itu, setiap tahun Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) akan mengadakan mesyuarat dengan setiap agensi yang terlibat.

Adakah tugas METMalaysia hanya menyediakan maklumat dan memberi amaran berkenaan sesuatu bencana seperti banjir dan terhenti setakat itu sahaja, atau lebih daripada itu?
Setakat ini, bidang kuasa kita hanya melakukan ramalan cuaca dan keluarkan amaran.
Selain itu, pada masa sama, kita juga bertanggungjawab untuk menghebahkan seluas mungkin tentang keadaan cuaca.
Selebihnya dilakukan agensi lain yang lebih bertanggungjawab.
Sebagai contoh, untuk prosedur operasi standard bagi pengurusan banjir, tugas kita adalah memaklumkan situasi cuaca.
Kita tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa kerana ia boleh menjadi pertindihan tugas dengan agensi lain.
Pada pandangan METMalaysia, adakah perubahan iklim global mempengaruhi kepada berlakunya taburan hujan yang lebih banyak sehingga menyebabkan banjir berlaku?
Berdasarkan trend pencerapan yang kita lakukan tidak dapat dinafikan suhu dunia semakin meningkat.
Tetapi untuk taburan hujan, kita dapati ia lebih kurang sama.
Mengikut unjuran model bagi 100 tahun ke hadapan dari tahun 2000 sehingga 2099, kita dapati tidak banyak perubahan taburan hujan yang ketara.
Tetapi kejadian cuaca ekstrem kebelakangan ini semakin kerap berlaku dan orang akan kaitannya dengan perubahan iklim.
Secara teorinya, apabila cuaca panas, ais di bahagian kutub akan cair dan jumlah air di bumi akan bertambah dan wap air semakin banyak dan akan menyebabkan hujan.
Benarkah taburan hujan di Malaysia berlaku penambahan peratusan hujan dan Disember serta Januari merupakan bulan yang sensitif dan akan menerima lebihan hujan bulanan. Mengapa kejadian ini boleh berlaku?
Dalam hal ini, disebabkan Monsun Timur Laut yang menyebabkan taburan hujan semakin bertambah dan ia banyak berlaku di negeri sebelah pantai timur Semenanjung dan juga Sarawak.
Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya di kawasan itu antara November sehingga Januari.
Taburan hujan di sebelah Pantai Timur secara purata antara 700mm hingga 800mm apabila tiba Monsun Timur Laut. Di musim lain, purata hujan di kawasan itu sekitar 300mm sebulan.














