fbpx

Siasatan kontroversi Azam Baki dijamin ikut perundangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Wan Junaidi dan Azam.

PUTRAJAYA – Proses penyiasatan rapi berhubung kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tetap mengikut lunas perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kes berkenaan sebenarnya sedang diteliti oleh dua pihak secara serentak iaitu Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.

“Pandangan yang bebas daripada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dianggotai enam panel berkecuali turut diambil kira dalam penyiasatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Isu Azam menjadi panas susulan pengakuan secara terbuka mempunyai kepentingan saham dalam akaun atas nama dirinya yang didakwa konon digunakan pula oleh adiknya sendiri.

Kontroversi itu bertambah buruk apabila semua anggota LPPR tampil menafikan penjelasan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan menyifatkan ia hanya pendapat peribadi beliau yang kemudiannya menyaksikan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik menggesa Azam ‘berehat’ atau meletak jawatan kerana skandal saham tersebut menghakis keyakinan rakyat terhadap SPRM.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi mengingatkan semua pihak bahawa kes itu masih dalam proses siasatan dan beliau akan memutuskan tindakan yang selanjutnya setelah penyiasatan selesai.

“Saya memang sedar terdapat banyak permintaan untuk dikenakan segera tindakan tegas ke atas Azam namun urusan penyiasatan oleh SC dan PDRM pun belum habis lagi,” tegasnya.

Beliau meminta semua pihak agar bertenang kerana kerajaan berusaha sehabis baik bagi menangani perkara berkenaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI