fbpx

Perhilitan selamatkan tapir Malaya cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tapir Malaya yang cedera sebelum diselamatkan dari Felda Chemomoi di Pahang. – FOTO: IHSAN PERHILITAN

PUTRAJAYA – Tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menyelamatkan seekor tapir Malaya yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki di Pahang, Isnin lalu.

Perhilitan dalam satu kenyataan berkata, tapir jantan seberat 200 kilogram itu ditemui dalam keadaan cedera di sekitar Felda Chemomoi, Wilayah Mempaga, Triang dalam Daerah Bentong.

“Operasi menyelamat kemudian segera dijalankan oleh pihak Perhilitan Daerah Temerloh dengan mendapat bantuan daripada Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan.

“Usaha tersebut dilaksanakan susulan maklumat diterima daripada orang awam yang terlihat kelibat mamalia berkenaan dalam keadaan kesakitan di lokasi kejadian,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, proses rawatan awal ke atas haiwan liar tersebut telah pun diberikan oleh penolong pegawai veterinar Perhilitan sebelum dipindahkan pula ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan.

Tambahnya, sejurus tiba di premis khas yang terletak di Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak itu, tapir tersebut segera diberikan rawatan dan pemantauan selanjutnya.

“Perhilitan Semenanjung Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam kerana bertindak pantas menyampaikan maklumat berhubung nasib tapir yang tercedera itu.

“Ini merupakan kes terkini tapir Malaya mengalami kecederaan direkodkan di Pahang selepas kali terakhir pada akhir November lalu di Kawasan Perindustrian Gebeng, Daerah Kuantan,” katanya.

Haiwan tersebut antara lima spesies utama tapir terbesar di dunia dan merupakan jenis mamalia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716.

Dianggarkan hanya ada kurang 2,000 ekor Tapir Malaya ketika ini dan Perhilitan mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Konservasi di Sungai Dusun, Hulu Selangor, Selangor pada tahun 2014. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI