fbpx

Perjalanan lawat isteri di wad bertukar tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengawal keselamatan terkorban selepas terbabit kemalangan di KM5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim dekat Bukit Mertajam semalam.

SEBERANG PERAI – Hasrat seorang pengawal keselamatan untuk melawat isterinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menuju ke hospital itu semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu dilaporkan berlaku di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth dekat Bukit Mertajam di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa melanggar belakang SUV jenis Proton X70 yang berhenti di bahu lebuh raya.

“SUV itu dikatakan mengalami kerosakan dan pemandunya yang merupakan jurujual berusia 33 tahun berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaan.

“Selang beberapa minit, motosikal datang dari arah belakang telah melanggar belakang SUV sehingga menyebabkan mangsa terkorban,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafee berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HSJ semalam mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah pada kepala.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Perahu, Bukit Mertajam di sini menuju ke HSJ bagi melawat isterinya yang sedang sakit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI