fbpx

AMK, PKR gesa siasatan menyeluruh terhadap Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara tiga ahli parlimen PKR selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat termasuk Ketua AMK PKR merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dan Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Akmal berkata laporan dibuat susulan sidang akhbar Azam Baki menjelaskan akaun sistem depositori pusat (CDS) saham yang didaftarkan atas namanya digunakan adik beliau, Nasir Baki dua hari lalu.

“Azam telah membuat pengakuan akaun itu telah digunakan untuk membeli saham dan membuat pusingan dalam pasaran terbuka.

“Kita berharap polis melakukan siasatan secara menyeluruh dan perkara ini mendapat peluang untuk mengembalikan integriti SPRM,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Jelas Akmal, penjelasan itu turut mengundang keraguan selain berpotensi melanggar undang-undang melibatkan pegawai awam.

“PDRM perlu segera menyiasat pengakuan Azam kerana mendatangkan kecurigaan yang serius termasuk pelanggaran Peruntukan Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Industri (Depositori Pusat) 1991, mewajibkan akaun CDS dibuka atas pemilik benefisiari.

“Selain itu, terdapat kemungkinan salah laku jenayah lain termasuk pemalsuan identiti dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan pematuhan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 2002, pemilikan dan pengisytiharan harta pegawai awam,” ujarnya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PDRM, Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dapat menjalankan tanggungjawab menyelesaikan perkara ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI