fbpx

Tiada lagi ‘paku’ selepas 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilik Restoran Hover, Hassan Abdul Rahman menggunakan gelang getah untuk membungkus nasi di restorannya di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Selepas lebih 30 tahun menggunakan paku pada bungkusan hidangan nasi sumatera, sebuah restoran dikenali Restoran Hover di sini, akhirnya akur untuk tidak lagi menggunakan benda tajam itu.

Pengendali restoran yang terkenal di Kota Bharu itu, Azahari Hassan, 38, berkata, mereka terpaksa melupakan salah satu tradisi perniagaan keluarganya sejak tahun 1980-an.

Menurutnya, restoran tersebut akan menggunakan gelang getah bagi membungkus nasi sumatera yang lebih popular dengan panggilan nasi paku kira-kira dua minggu lagi.

“Kebiasaannya, saya akan membeli paku seberat 10 kilogram pada harga RM55 setiap bulan. Ketika ini, stok paku masih ada dan apabila kesemuanya habis, kami akan menggunakan gelang getah sepenuhnya.

“Pada asalnya, restoran ini juga menggunakan gelang getah jika pelanggan membeli nasi sumatera yang bungkus dengan satu lauk.

“Paku hanya digunakan pada bungkusan nasi melebihi dua lauk kerana pembungkusannya lebih ketat selain tidak mudah terburai,” katanya semalam.

Menurutnya, pekerjanya sentiasa cermat dalam membungkus agar paku yang digunakan tidak masuk ke dalam bungkusan makanan pelanggan.

Sementara itu, seorang penggemar nasi sumatera, Hanif Mohamad, 33, berkata, keenakan nasi sumatera asli yang dijual di kebanyakan restoran di Kelantan itu merupakan faktor penting dalam penjualan makanan.

“Tidak dinafikan penggunaan paku pada bungkusan nasi itu unik, namun ia akan dibuang juga selepas makan. Jadi, tiada keperluan untuk meneruskan penggunaannya jika KKM sudah memberi peringatan,” katanya.

Seorang lagi penggemar nasi sumatera, Azmira Kadir, 28, berkata, saranan KKM mengenai bahaya penggunaan paku pada bungkusan makanan merupakan satu langkah tepat dan perlu dipatuhi semua peniaga.

Ujarnya, ini kerana, langkah pencegahan lebih baik daripada merawat sekiranya melibatkan kecederaan terhadap pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI