fbpx

Lelaki warga emas maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan Mohammad Zawawi di KM 2, Jalan Ajil-Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 2, Jalan Ajil-Kuala Berang berhampiran sebuah kilang kayu di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.50 petang itu, mangsa, Mohammad Zawawi Abdullah, 61, dari Kampung Kolam, Ajil di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, kenderaan Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Berang di sini dari sebuah bengkel ganti kenderaan berhampiran.

“Kejadian dikatakan berlaku apabila kereta Perodua Kancil dipandu mangsa di laluan kiri dikatakan tiba-tiba memasuki lorong bertentangan untuk membuat pusingan U.

“Kenderaan Toyota Hilux dipandu pengurus sebuah syarikat swasta itu gagal mengelak lalu merempuh bahagian kanan kereta mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta Perodua Kancil dipandu Mohammad Zawawi terbabas ke tepi jalan.

Beliau berkata, mayat lelaki warga emas berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kenderaan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI