Rumah pusaka berusia hampir 200 tahun peninggalan arwah datuk merupakan harta yang sangat berharga serta masih dijaga dengan rapi.
Apa yang membuatkan penulis kagum, kediaman bercirikan rumah tradisional Negeri Sembilan berbumbung panjang itu masih utuh dan tersergam indah di Kampung Lada, Chengkau, Rembau.
Menurut pewarisnya, Siti Endon Mohd. Daud, 78, rumah pusaka berkenaan telah empat kali dibuka dan dipasang semula termasuk menjadi antara rumah Melayu yang diperlihatkan abang kepada King Edward di Singapura.
“Tahun bila, saya dah tak ingat, tetapi itu antara cerita yang diturunkan oleh arwah ibu, Chemah @ Tiamah Mohd Zakaria kepada saya.
“Masa itu, arwah datuk saya, Dato’ Gempa Maharaja Mohd. Zakaria Nurop membawa tukang asal rumah dan ibu ke Singapura.
“Entah berapa gerabak kereta api mereka guna untuk bawa bahagian hadapan rumah pusaka ini yang telah dibuka dan dipasang kembali di Singapura,” kongsinya.

Menurut Siti Endon, sebaik pulang dari Singapura, arwah datuknya telah menambah binaan batu di bahagian bawah bagi memastikan rumah berkenaan lebih utuh serta menarik.
Ketika ditanya mengenai sejarah asal kediaman berkenaan, Siti Endon menyatakan, rumah pusaka itu sebenarnya dibeli arwah datuknya daripada seorang penduduk di Kampung Nerasau, Chengkau.
“Penduduk itu mahu menjual rumah berkenaan kerana anak-anaknya ramai yang sudah meninggal dunia.
“Jadi, tiada siapa yang akan mewarisi rumah berkenaan.
“Datuk yang baru sahaja berkahwin membeli rumah berkenaan. Dia kemudian meminta tukang asal yang membinanya membuka rumah tersebut dan memindahkannya ke Kampung Lada.
Menurutnya, lokasi rumah berkenaan kekal hingga kini serta merupakan amanah besar buat mereka sekeluarga bagi menjaga kediaman berkenaan dengan baik walaupun sudah berusia ratusan tahun.
“Kos untuk mengekalkan rumah ini memang tinggi. Namun, ada pihak yang baik hati membantu kami memuliharanya.
“Lebih-lebih lagi setelah terpilih sebagai antara bangunan tradisional bagi Kajian Lukisan Terukur oleh Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1997.

Menurut Siti Endon, anak keduanya, Fara Aida Farid, 48, juga banyak bekerjasama untuk kajian tersebut dalam usaha membantu mengetengahkan keistimewaan rumah tradisional berusia ratusan tahun ini.
“Malah, anak jugalah yang banyak mengekalkan barang-barang antik serta susun atur dalam rumah ini supaya sentiasa terjaga rapi.
“Rumah ini bukan hanya istimewa dari segi binaan, ukiran dan barangan antik yang terdapat di dalamnya, bahkan ia turut mempunyai nostalgia silam kerana pernah dikunjungi oleh mufti-mufti terawal di Negeri Sembilan.
Menurutnya, arwah datuknya memegang jawatan penting dalam Adat Perpatih di Luak Rembau dan merupakan datuk lembaga adat.

“Datuk meninggal di usia 108 tahun pada 1959 akibat sakit tua. Sepanjang usianya, banyak tokoh agama yang berkunjung ke rumah ini serta berkongsi pandangan serta kisah masing-masing.
“Antara yang pernah mengunjungi rumah ini ialah Mufti Negeri Sembilan yang pertama, Sheikh Ahmad Sheikh Mohd. Said,” kongsinya.
Menurutnya, disebabkan kediaman berkenaan merupakan rumah pusaka, ia akan dimiliki serta diturunkan kepada anak bongsu perempuan.
“Arwah mak saya ada tujuh beradik dan dia merupakan anak bongsu. Kemudian, rumah ini diwarisi oleh saya dan akan mengikut sistem yang sama nanti.
Menurutnya, memiliki rumah berusia ratusan tahun bukanlah sesuatu kebanggaan, namun merupakan satu amanah yang sangat besar.
“Malah arwah abah saya juga menasihatkan kami untuk menjaga rumah ini dengan baik dan mengekalkan keasliannya sampai bila-bila.
“Saya harap agar ia akan kekal utuh sampai bila-bila dari generasi demi generasi yang akan tetap menjaga rumah pusaka ini dengan baik,” kongsinya yang pernah ditawar jutaan ringgit bagi menjual kediaman berkenaan.















