fbpx

Tak perlu bantuan, terima kasih ingat, doa – Ebby Yus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEBUR. Rumah Ebby yang dalam proses pembinaan musnah dihanyutkan arus deras banjir baru-baru ini dan kini hanya tinggal kenangan.

KALAU dilihat dari kaca mata kasar orang ramai, nasib pelakon dan pelawak, Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, boleh diibaratkan seperti pepatah yang berbunyi, sudah jatuh ditimpa tangga.

Masakan tidak, rumah miliknya yang sedang dalam pembinaan dianggarkan berharga RM200,000 musnah dilanda arus deras ketika bencana banjir melanda baru-baru ini.

Ketika dihubungi HibGlam, anak seni yang cukup dikenali menerusi siri sitkom televisyen Simpang Tiga itu berkata, sebagai manusia, dia tidak mahu mengeluh dengan apa yang terjadi dalam hidupnya.

Pun begitu, dia mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai dan semoga semua manusia lain termasuk dirinya dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun dia diuji sekali lagi apabila dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara disebabkan masalah paru-paru.

Ebby bagaimanapun memaklumkan, keadaannya sekarang stabil dan tidak memerlukan rawatan sehingga berdepan kemungkinan paru-parunya perlu ditebuk.

HIBGLAM: Bagaimana keadaan kesihatan abang sekarang?
EBBY YUS: Alhamdulillah, doktor dah buat pemeriksaan dan keadaan paru-paru saya sekarang tidak memerlukan rawatan sampai perlu ditebuk. Walau bagaimanapun, saya perlu menjalani rawatan susulan di hospital. Terima kasih sebab ingat dan mendoakan kesihatan saya pulih. Terima kasih buat semua yang mendoakan dan percayalah, doa kepada saya berbalik kepada kalian semua. Doa yang baik-baik.

EBBY dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat masalah paru-paru.

Maaf bertanya, dalam waktu terdekat ini, ujian demi ujian menimpa abang. Bagaimana abang dapat kekuatan untuk menghadapi semua ini?
Saya selalu cakap pada diri sendiri setiap yang berlaku, ada hikmahnya dan kalau kita rasa diri kita sedang susah, ada orang lagi susah sebenarnya.
Kadang-kadang, kita manusia ini mahukan sesuatu yang indah dalam kehidupan tetapi usahanya tidak banyak. Kalau diuji sikit, terus rasa ingin mengalah. Nak berserah atau reda boleh, bukan tak boleh tetapi selepas berusaha bersungguh-sungguh. Itu yang saya pegang dalam kehidupan.

Orang nampak kuatnya seorang Ebby Yus tapi mungkin mereka tak rasa sebab mereka bukan diri abang. Apa yang abang boleh katakan berkenaan perkara tersebut?
Beginilah. Apa yang kita ada di dunia ini hanya pinjaman. Isteri, anak-anak dan harta benda, semuanya milik Allah SWT. Kalau dah berusaha nak sembuh atau dapatkan sesuatu, barulah kita boleh berserah atau reda. Itu pekerti seorang Muslim yang dituntut dalam agama.

Contoh macam saya, diuji dengan bermacam-macam penyakit pada usia sekarang, takkan saya nak berdiam diri atau berpeluk tubuh? Saya perlu ikhtiar nak sembuh macam dahulu. Sebab apa? Sebab saya percaya, kesembuhan dan segala kebaikan datang daripada Allah. Dia yang ada kuasa untuk segala-galanya. Semua yang ada di muka bumi ini adalah miliknya. Kita pinjam sahaja semua itu.

Maaf bertanya, mungkin dengan apa yang berlaku dalam hidup anda akhir-akhir ini, adakah anda memerlukan apa-apa bantuan, barangkali dari segi kewangan dan sebagainya?

Tidak perlu. Cukup dengan hanya kita berdoa untuk diri masing-masing. Saya masih boleh teruskan hidup seperti biasa atas kurniaan rezeki Ilahi.
Kita tolong orang yang betul-betul memerlukan bantuan. Contohnya, mangsa-mangsa banjir, mereka yang hilang tempat bergantung disebabkan virus Covid-19 dan sebagainya. Kita kesan, cari dan hulurkan bantuan. Insya-Allah tahun baharu ini, semuanya akan lebih membaik dan memulih buat semua orang. Kita doa sama-sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI