RANTAU PANJANG – Dua penyeludup lari ke dalam kebun kelapa sawit selepas kegiatan mereka membawa beras Siam seludup seberat 1.28 tan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan lama Bukit Lata di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa menjalankan rondaan rutin, anggota PGA melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dipandu dari arah Jeram Perdah menghala ke arah Rantau Panjang dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 6.45 petang.
Menurutnya, anggota PGA telah memintas pacuan empat roda itu semasa tiba di jalan lama Bukit Lata sebelum meminta pemandu untuk memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
“Selepas memberhentikan kenderaan, kedua-dua suspek telah bertindak melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran.
“Anggota PGA telah menjejaki kedua-dua suspek, namun gagal. Pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menjumpai guni yang mengandungi beras yang diseludup dari negara jiran seberat 1.28 tan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azhari memberitahu, kesemua barangan rampasan di bawa ke Kompeni Taktikal PGA, Jeram Perdah sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya. -K! ONLINE