TAVULLIA, Itali – Segala teka-teki akhirnya terjawab apabila syarikat gergasi petroleum Arab Saudi, Aramco sah tidak akan menjadi penaja utama pasukan VR46 Racing Team milik Valentino Rossi pada musim 2022 nanti.
Pada awal tahun 2021, pasukan VR46 mendedahkan bahawa pihaknya akan meneruskan saingan ke kelas utama MotoGP dengan dibantu penaja utama iaitu Aramco.
Bagaimanapun, Aramco menyangkal dakwaan dan menafikan penglibat mereka bersama pasukan VR46 sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai persiapan pasukan tersebut pada musim 2022.
Bagaimanapun VR46 telah bekerja keras dan akhirnya mengumumkan syarikat perbankan dari Itali yang dikenali sebagai Mooney akan menjadi penaja utama pasukan MotoGP dan Moto2 mereka bagi musim depan.
“Syarikat perbankan iaitu Mooney akan menjadi penaja utama pasukan VR46 Racing Team dan juga pasukan Moto2 pada musim 2022 nanti.
“Pasukan milik Rossi itu akan dikenali sebagai Mooney VR46 Racing Team dan akan digunakan dalam semua imej pasukan termasuk motosikal dan sut pelumba.
“Bagaimanapun, segala maklumat yang lebih lengkap akan diumumkan pada 3 Januari ini,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.
Musim depan, VR46 akan menggunakan jentera Ducati bersama dua pelumba Luca Marini dan Marco Bezzecchi. – AGENSI














