PETALING JAYA – Gara-gara takut dikenakan denda dan dipenjara, terdapat pasangan kekasih yang bernikah di negara jiran nekad untuk tidak mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia apabila pulang ke tanah air.
Mereka sanggup berdepan kesulitan dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri termasuk boleh ditahan pihak berkuasa agama pada bila-bila masa kerana tidak mempunyai dokumen pernikahan yang sah.
Hasil perkahwinan itu, anak mereka pula terpaksa menanggung ‘bala’ apabila dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf.
Malah, anak-anak mereka juga terpaksa ‘berbin’ atau ‘binti’ Abdullah dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sepasang suami isteri yang bernikah di Thailand pada 2013 mendedahkan, sehingga kini mereka tidak pernah mendaftarkan perkahwinan dengan pihak berkuasa Malaysia.
Pekerja buruh yang hanya mahu dikenali sebagai Zarul, 31, berkata, dia dan isterinya yang berusia 37 tahun telah bernikah di Takbai, Narathiwat.
Katanya, hasil perkahwinan itu mereka memperoleh seorang anak perempuan yang kini berusia enam tahun, namun terpaksa berbintikan Abdulllah untuk mengelak perkahwinan mereka di Thailand diketahui pihak berkuasa Malaysia.
“Kami bernikah di Thailand kerana hubungan tidak direstui ibu bapa. Kami tidak daftarkan perkahwinan di negara ini kerana takut melalui nasib seperti rakan-rakan lain.
“Mereka telah dikenakan denda lebih RM1,000 dan ada yang dipenjara selama beberapa hari sebelum perkahwinan dapat didaftarkan.
“Saya kerja tidak menentu dan tidak mampu membayar denda itu. Jumlah RM1,000 sangat besar bagi kami suami isteri,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di sebuah daerah di Selangor baru-baru ini.
Isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Mek Yah, 37, pula mengakui bimbang dengan masa depan anaknya itu yang berstatus anak tidak sah taraf.

Katanya, walaupun kedua-dua keluarga akhirnya merestui perkahwinan mereka, namun urusan pendaftaran pernikahan di Malaysia masih membelenggu pemikiran mereka.
“Kami pernah berhasrat untuk mendaftarkan perkahwinan, tetapi takut didenda atau masuk penjara,” ujarnya.
Dalam kisah berasingan, seorang wanita di Selangor yang mahu dikenali sebagai Fatimah, 28, mendedahkan, dia berdepan kesukaran untuk berkahwin sejak tahun 2019 kerana permohonannya ditolak Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Ujarnya, tindakan itu ekoran tiada penemuan dibuat mengenai rekod perkahwinan ibu bapanya dalam sistem pengurusan perkahwinan Islam Malaysia.
“Saya sangat terkejut kerana tidak mengetahui tentang perkara itu sebelum ini. Rupa-rupanya, ibu bapa saya berkahwin di Thailand pada tahun 1989 dan mereka masih tidak mendaftarkan perkahwinan secara sah di sisi undang-undang Malaysia.
“PAID beritahu saya tak boleh bernikah berwalikan bapa sendiri jika mahkamah memutuskan pernikahan mereka tidak sah.
“Baru sekarang saya sedar status saya adalah anak tidak sah taraf,” ujarnya.
Pada 13 Februari 2020, Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam keputusan majoriti 4-3 memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya, sebaliknya Abdullah.
Pada Mei lalu pula, Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 4-3, menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang bapanya warganegara Malaysia dan ibunya rakyat Filipina, bagi mendapatkan status kerakyatan Malaysia.
Keputusan majoriti itu memutuskan Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah adalah mengikut kewarganegaraan ibunya.
Mengikut statistik, lebih 300,000 anak tidak sah taraf didaftarkan dengan JPN bagi tahun 2010 hingga 2019. -K! ONLINE














