fbpx
ANGGOTA bomba menyelamatkan salah seorang daripada tiga mangsa yang terperangkap dalam rumah selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Baru Jalan Malaysia, Jeli semalam.

Gelombang kedua banjir mula landa Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Lebih 800 penduduk di Jeli dan Kuala Krai dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air dalam gelombang kedua banjir bermula semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis menerima maklumat mengenai penduduk terjejas selepas berlaku hujan lebat di dua daerah itu kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Kata beliau, seramai 200 pegawai dan anggotanya digerakkan ke dua daerah tersebut untuk membantu mangsa terjejas.

“Sebanyak tujuh PPS (setakat pukul 2 petang) telah dibuka di Jeli dan Kuala Krai untuk menempatkan lebih 500 mangsa banjir.

“Saya menasihatkan penduduk di dua daerah itu agar berwaspada menghadapi gelombang kedua yang bermula awal pagi tadi (semalam). Penduduk diharap tidak menangguhkan hasrat mereka apabila diminta berpindah ke PPS berhampiran,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

JALAN Jeli Lama dinaiki air sedalam hampir satu meter sehingga terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan semalam.
– IHSAN JKR JELI

Sementara itu, di Rantau Panjang, seorang warga emas, Mek Yam Che Hamad, 80, meluahkan rasa perit apabila dia sudah 27 hari bermalam di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh selepas rumahnya di Kampung Bendang Perol masih ditenggelami air.

Katanya, meskipun sudah lali dengan situasi itu, namun perpindahan kali ketiga sejak November lalu, ini disifatkan cukup lama apabila mereka sudah bermalam di PPS selama dua minggu.

“Paling lama, saya dan anak akan bermalam seminggu sahaja, namun disebabkan banjir termenung yang didakwa berpunca dari projek tebatan banjir, kami masih berada di SK Gual Tok Deh.

“Saya harap banjir cepat surut kerana sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Ahmad, 55, menyifatkan banjir kali ini cukup besar dalam sejarah hidupnya sepanjang 28 tahun menetap di kampung berkenaan.

Katanya, banjir kali ini me­nyaksikan paras air di dalam rumah melebihi 1.5 meter sekali gus menenggelamkan kelengkapan rumah dan barangan elektrik.

Tambahnya, dia dan penduduk berharap kerajaan memperba­nyakkan lagi pintu air bagi mengelakkan banjir termenung terus berlarutan sekaligus menyebabkan mereka kerugian lebih teruk. -K! ONLINE

POPULAR