fbpx
Pusat sehenti di Johor yang memberi keselesaan bagi usahawan kecil menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.

Ikano Centres catat kadar sewa 92 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ikano Centres sebahagian daripada Ikano Retail, berjaya mencatat kadar sewanya yang normal iaitu sebanyak 92 peratus bagi lima buah pusat beli-belah dalam portfo­lionya sepanjang tempoh 18 bulan lalu.
Pusat beli-belah tersebut terdiri daripada IPC, MyTOWN, Toppen dan Batu Kawan di Malaysia serta Megabangna di Thailand.

Pengarah Urusan Pusat Beli-belah Penggunaan Bercampur Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, dalam tempoh itu, syarikat memperkenalkan pelbagai pendekatan untuk menangani isu keselamatan, menambah baik pengalaman pe­langgan, merintis perkongsian digital serta menginovasikan platform beli-belah yang memudahkan pelanggan berhubung, berinteraksi dan belajar.

“Semakin ramai pengunjung sudah mula kembali ke pusat ­beli-belah kami.

“Bagi menambahbaik pengalaman pelanggan di serata pusat beli-belah, kami akan melabur untuk pembangunan fizikal serta platform digital agar pengalaman membeli-belah lebih menarik buat pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mirea me­nerangkan, pusat beli-belah IPC yang terletak di Mutiara Damansara sedang dalam proses terakhir dinaik taraf kemudahannya bagi mempertingkatkan keselesaan, kebolehcapaian dan per­khidmatan mesra keluarga.

Pusat Beli-belah MyTOWN pula memperkenalkan hab sosial dan gaya hidup baharu di tengah-tengah Kuala Lumpur yang telah dilancarkan pada bulan ini.

Pusat Beli-belah Toppen yang memperkenalkan Soulmates, telah direka untuk menyokong perniagaan kecil dan usahawan di Johor.

Soulmates menjadi pusat sehenti setempat dan bersesuaian untuk menawarkan perkhidmatan kecantikan, kesihatan dan kecergasan serta kemahiran lain kepada pelanggan dalam suasana yang selesa dan profesional.

Selain itu, Ikano Centres Batu Kawan, Pulau Pinang pula telah memperkenalkan fasa konsep pandu lalu makanan dan minuman sejajar dengan usaha memperluaskan lagi pengalaman peruncitan yang baharu.

Kumpulan juga memiliki sebuah pusat beli-belah Mega­bangna yang terletak di Bangkok, Thailand.
Ia kini terkenal sebagai salah satu pusat membeli-belah terbesar di Asia Tenggara.

POPULAR