fbpx

Pondok dinding buluh ‘mahligai’ tiga beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIFFUDDIN bersama isteri dan anaknya di hadapan rumah mereka di Kampung Cherok Kedah, Kulim.

KULIM – Tiga sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan di sebuah pondok yang diperbuat daripada buluh dan batang pinang di Kampung Cherok Kedah, Mahang di sini ekoran faktor kemiskinan.

Pasangan suami isteri, Ariffuddin Cha, 43, dan Noraini Indera, 40, serta anak mereka, Nurkhalisha Aulia, 6, tinggal di pondok itu sejak empat bulan lalu.

Menurut Ariffudin, mereka berpindah dari Kampung Padang Kering, Hilir Perak ke kampung tersebut pada Ogos lalu.

“Saya hanya bekerja kampung dan disebabkan kurang berkemampuan, saya membina pondok ini bersendirian menggunakan batang pinang dan buluh,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Keluarga itu ditemui selepas menerima kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim, Foo Kim Heng.

Ariffuddin berkata, pondok tersebut didirikan di atas tanah milik ibunya buat sementara waktu sementara menunggu proses kebenaran dari saudara mara sebelah ibunya untuk mendirikan sebuah rumah.

Ujarnya, dia membina pondok tersebut yang hanya mempunyai sebuah bilik dan dapur kayu selain beralaskan kotak.

“Pondok ini hanya tempat kami berteduh tanpa kemudahan elektrik, manakala air diperoleh daripada jiran,” katanya.

Jelasnya lagi, dia tidak mampu untuk membeli barangan untuk membuat rumah sempurna.

“Saya berharap ada pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada kami untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Kim Heng berkata, dia telah menziarahi keluarga itu sebanyak dua kali selepas dimaklumkan penduduk.

“Saya datang untuk menyampaikan sumbangan selain membantu keluarga ini untuk mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan,” katanya.

Tambahnya, permohonan bantuan telah dibuat melalui Pejabat Penghulu Mukim Mahang dan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Mahang Luar.

“Keluarga terbabit perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan tapak tanah bagi memudahkan pihak kami mempro­ses permohonan bantuan pembinaan rumah,” jelasnya.

Orang ramai yang mahu ­menghulurkan sumbangan boleh menghubungi nombor telefon 019-340 4126 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 02004 3122 8277 601 00011 atas nama Ariffuddin Cha. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI