JITRA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kereta dinaiki bersama keluarganya terjunam ke dalam Sungai Korok di sini hari ini.
Mangsa, Haraz Safiy Haniz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jitra pada pukul 12.20 tengah hari ini.
Sementara ibu bapa mangsa iaitu Haniz Mohamad, 35, dan Nurul Syahira Zamri, 34, masing-masing mengalami kecederaan ringan dan luka di dahi.
Seorang lagi anak mereka, Syafin Haadif, 2, masih dirawat di Zon Merah Hospital Jitra.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.29 pagi ini.
“Kita dimaklumkan terdapat satu kemalangan melibatkan sebuah kereta yang disyaki terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta tersebut masih berada di tempat kejadian dan semua mangsa telah dikeluarkan dari kereta,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE