SHAH ALAM – Bencana banjir yang telah menenggelamkan keseluruhan kawasam Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini sejak Sabtu lalu didakwa telah menyebabkan kerugian hampir RM400 juta kepada para penduduknya.
Bencana alam terburuk sejak 1995 yang melibatkan 4,400 rumah itu mengakibatkan semua perabot, barang elektrik dan kenderaan mangsa rosak.
Tinjauan Kosmo! mendapati, purata seorang penduduk mengalami kerugian dianggarkan antara RM5,000 hingga RM100,000 termasuk kerosakan kediaman yang dinaiki air setinggi tiga meter.
Penduduk Pangsapuri Kos Rendah Taman Sri Muda, Roslen Abd. Razak, 60, berkata, semua perabot dan barangan rumahnya musnah dalam tragedi banjir itu.
“Saya sememangnya tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan sebuah kereta serta dua motosikal turut mengalami kerosakan.
“Semuanya berlaku dalam sekelip mata sehingga mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM20,000,” kata pesara swasta yang menetap di tingkat bawah pangsapuri itu.

Bagi penduduk Jalan Anggun, P. Manickam, 62, banjir telah menyebabkan tingkat bawah rumah teresnya ditenggelami air sehingga merosakkan empat buah kereta masing-masing jenis Honda Jazz, Toyota Yaris, Mazda dan Nissan Sylphy selain semua barangan di aras tersebut.
“Ketika kejadian kami sekeluarga terperangkap di tingkat dua dan hanya mampu melihat harta benda musnah dianggarkan RM100,000,” kata ahli perniagaan itu.
Penduduk di Jalan Gembira yang juga pemandu lori, Taslim Kudin, 53, pula berkata, keseluruhan kerugiannya dianggarkan RM80,000 melibatkan perabot dan dua kereta dan tiga motosikal.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati banjir di Taman Sri Muda sudah surut sepenuhnya dan penduduk mula sibuk membersihkan kediaman masing-masing termasuk menguruskan kenderaan yang rosak.
Ribuan kenderaan mangsa juga didapati masih tersadai di tepi jalan dengan dipenuhi kesan banjir teruk berkenaan.