PETALING JAYA – Bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk di Selangor sejak Sabtu lalu mendorong pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan bersatu di bawah semangat Keluarga Malaysia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.
Keprihatinan rakyat Malaysia yang sentiasa membantu selain disokong kuasa media sosial dalam menyiarkan keadaan dan keperluan mangsa banjir yang terjejas amat dipuji.
Ini kerana mereka mampu mengumpulkan bantuan sebanyak mungkin sehingga sedia menawarkan perlindungan kepada mangsa apabila bencana banjir semakin buruk.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Shah Alam dan Klang mendapati, rata-rata mangsa yang terkesan mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu terutamanya agensi kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pantas bertindak menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan.
Menceritakan pengalaman yang dilalui pada hari Sabtu lalu, Selvanesan Selvarajah, 48, berkata, sekitar pukul 2 pagi, dia mula menyedari kawasan rumahnya sudah dinaiki air sekitar paras buku lali dan dalam tempoh 10 minit, air semakin meningkat sehingga mencecah ketinggian 3.1 meter.
“Mujur rumah saya dua tingkat, apabila air semakin naik, saya terus membawa ibu bapa naik ke tingkat atas.
“Apabila selesai pindahkan mereka, saya mahu turun semula ke bawah untuk mengambil barangan penting tapi air sudah makin tinggi sehingga menutupi kipas siling,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Selvanesan, dia kemudiannya bertindak menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan dengan segera terutamanya membantu mengeluarkan ibu bapanya yang sedang sakit tua.
“Saya faham, pada peringkat awal banyak agensi kerajaan yang sukar untuk masuk ke kawasan rumah kami disebabkan paras air yang tinggi, tapi saya bersyukur kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) datang dengan menaiki bot untuk bantu keluarga saya.
“Mereka segera pindahkan kami bertiga keluar dari kawasan banjir dan turut membantu bapa saya untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana keadaannya yang makin teruk ketika itu,” katanya.

Selain itu, seorang warga emas, Jawiah Mat Saleh, 69, memberitahu, dia diselamatkan dan dibantu oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk keluar dari rumah anaknya yang telah ditenggelami banjir.
“Mak cik (Jawiah) dah tua, bukan larat sangat nak bergerak, jadi kelam kabut anak dan menantu menyelamatkan dokumen penting sewaktu air sudah naik ke paras lutut.
“Air naik terlalu cepat dan mak cik tak sempat nak buat apa sangat, menggigil mak cik masa itu sebab sejuk berendam dalam air banjir.
“Selepas 30 minit menunggu, kami mendengar polis menjerit dan memanggil kami yang berada di dalam rumah,” katanya.
Selain itu, Nasir Mat, 54, menghargai usaha pihak berkuasa dan agensi yang terlibat dalam misi menyelamat mangsa.
Jelas beliau, pasukan penyelamat patut diberi penghargaan kerana sanggup bersusah payah demi keselamatan orang lain.
“Mereka sanggup mengorbankan kesihatan diri untuk memastikan kesemua mangsa dapat diselamatkan,” jelasnya sambil menambah, lebih daripada 50 peratus hartanya musnah.

Sementara itu, Fatimah Ulama, 47, yang juga terkesan dengan bencana buruk ini bersama sembilan ahli keluarganya menyifatkan, tindakan pantas kerajaan mengumumkan bantuan kepada rakyat adalah sangat bertepatan bagi mengurangkan beban mangsa banjir.
Beliau dan ahli keluarganya berjaya keluar dari kawasan tersebut dengan bantuan pihak berkuasa dan juga orang ramai.
Namun jelasnya, hampir 90 peratus barangan rumah dan kenderaannya rosak teruk.
Menurut Fatimah, bantuan yang disalurkan kerajaan amat diperlukan kerana setiap mangsa yang terkesan hampir kehilangan semua harta benda yang dimiliki.
“Kami sangat selesa berada di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Shah Alam kerana keperluan dan kemudahan yang diberikan di sini terlebih cukup untuk kami,” ujarnya.
Baru-baru ini, kerajaan melalui beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.
Inisiatif tersebut meliputi bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.
Selain itu, kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran dan pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 disediakan oleh Bank Simpanan Nasional.
TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir.
Bank Negara Malaysia juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022).
Bank pusat juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.