SHAH ALAM – Ratusan mangsa banjir yang terperangkap di Pasar Moden Seksyen 25 di sini menjerit meminta pertolongan daripada pasukan penyelamat pada malam Sabtu lalu.
Menceritakan detik tersebut, K. Prema, 40, yang terperangkap di situ bersama enam ahli keluarganya setelah rumah mereka di Jalan Muhibah 25/7 di sini dinaiki air sehingga paras dada.
“Saya bersama ahli keluarga bergerak ke pasar moden kira-kira pukul 7.30 malam kerana tidak selamat lagi untuk tinggal di rumah.
“Ayah saya, V. Kupusamy yang bekerja di pasar itu sebagai pengawal keselamatan mengarahkan kami untuk segera berpindah ke sana,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald di sini semalam.
Menurut suri rumah itu, dia memimpin tangan ibunya, V. Gondimah, 73, mengharungi air banjir yang ketika itu air sedang deras, manakala adik-beradiknya lain membawa barang keperluan serta seekor anjing peliharaan.
Kata Prema, mereka tiba di pasar terbabit setelah hampir 30 minit mengharungi air banjir yang ketika itu pada paras dada.
“Setibanya di pasar, terdapat ratusan mangsa banjir yang telah tiba di situ dengan keadaan gelap gelita kerana bekalan elektrik sudah terputus.
“Suasana panik menyelubungi ramai mangsa kerana mereka tidak dapat menghubungi mana-mana pihak kerana tidak ada talian telefon di situ,” katanya.
Memandangkan tidak ada talian, kesemua mangsa terpaksa berada di situ sehingga petang pada Isnin lalu sambil terpaksa menahan lapar kerana kekurangan bekalan makanan.
Akhirnya, Prema berkata, mereka diselamatkan oleh beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan yang ketika itu meronda dengan beberapa buah bot.
“Mereka terdengar jeritan kami beramai-ramai,” katanya.
Prema berkata, mereka menanggung kerugian puluhan ribu ringgit, mengambil kira sebuah kereta dan dua buah motosikal yang tidak dapat diselamatkan.
“Apapun, saya bersyukur kerana emak selamat mengharungi banjir walaupun mempunyai penyakit angin ahmar dan kencing manis,” katanya yang sudah 13 tahun tinggal di Taman Sri Muda di sini.