SHAH ALAM – Seorang pemandu trak tunda yang tular mencuri kenderaan yang diletakkan di tepi Persiaran Perusahaan Seksyen 23 akibat banjir sebelum ini direman selama dua hari bermula hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 26 tahun itu terlebih dahulu ditahan di sekitar daerah ini, semalam.
Katanya, penangkapan susulan penularan kejadian itu di media sosial terhadap tindakan penundaan kereta jenis Honda City milik isteri mangsa yang dilakukan suspek berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa meletakkan kereta berkenaan kira-kira pukul 6 petang pada Sabtu lalu dalam keadaan baik dan berkunci di tepi jalan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa mendapati kereta tersebut telah berada di trak tunda pukul 8.45 malam dua hari kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, trak tunda itu adalah atas nama sebuah syarikat di Telok Gadong, Klang dekat sini dengan dipandu suspek.
Ujar Arjunaidi, siasatan awal mendapati suspek itu memaklumkan kereta itu disuruh ditunda ke bengkel oleh seorang lelaki tidak dikenali.
“Mangsa sempat membuat pemeriksaan kereta itu dengan mendapati bateri kereta telah hilang, nombor pendaftaran depan belakang telah dipatahkan dan pelekat cukai jalan telah hilang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. -K!ONLINE